Antarabangsa
Israel lulus RUU hukuman mati terhadap tahanan Palestin
- Sebelum ini, pegawai keselamatan Israel menentang cadangan itu dengan alasan ia boleh membahayakan tahanan Israel yang ditawan oleh kumpulan Palestin di Gaza.
- Namun selepas semua tahanan Israel yang masih hidup dibebaskan oleh Hamas bulan lalu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi lampu hijau kepada rang undang-undang tersebut untuk diteruskan.
- Bagaimanapun, undang-undang itu tidak terpakai kepada warga Israel yang membunuh rakyat Palestin atas alasan yang sama.
BAITULMAQDIS — Sebuah jawatankuasa Parlimen Israel pada Isnin meluluskan rang undang-undang yang memperkenalkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, membuka jalan untuk bacaan pertama di Knesset minggu ini.
Cadangan undang-undang itu dikemukakan oleh Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, dari parti sayap kanan ekstrem Jewish Power, yang membolehkan mahkamah Israel menjatuhkan hukuman mati ke atas warga Palestin yang disabitkan kesalahan membunuh warga Israel atas “alasan nasionalistik”.
Bagaimanapun, undang-undang itu tidak terpakai kepada warga Israel yang membunuh rakyat Palestin atas alasan yang sama.
Rang undang-undang tersebut telah lama dipromosikan oleh parti-parti sayap kanan Israel sejak sebelum serangan genosid ke atas Gaza pada Oktober 2023, dan mendapat dorongan baharu untuk diluluskan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebelum ini, pegawai keselamatan Israel menentang cadangan itu dengan alasan ia boleh membahayakan tahanan Israel yang ditawan oleh kumpulan Palestin di Gaza. Namun selepas semua tahanan Israel yang masih hidup dibebaskan oleh Hamas bulan lalu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi lampu hijau kepada rang undang-undang tersebut untuk diteruskan.
Penyelaras Urusan Tahanan dan Individu Hilang Israel, Gal Hirsch, memberitahu jawatankuasa berkenaan bahawa bantahan terdahulu kini “tidak lagi relevan” dan menegaskan bahawa undang-undang itu adalah “alat untuk memerangi keganasan dan menjamin pembebasan tebusan.”
Bacaan pertama rang undang-undang berkenaan dijangka dilakukan hari ini.
Ben Gvir mengucapkan terima kasih kepada Netanyahu atas sokongannya terhadap cadangan tersebut dan menegaskan bahawa mahkamah tidak seharusnya mempunyai budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.
“Setiap pengganas yang keluar untuk membunuh mesti tahu bahawa hukuman mati akan dikenakan ke atasnya,” katanya.
Pergerakan Hamas mengecam langkah itu sebagai “menyerlahkan wajah sebenar fasis rejim pendudukan Zionis,” sambil menyeru agar jawatankuasa antarabangsa ditubuhkan untuk memasuki penjara Israel dan meneliti keadaan tahanan Palestin.
Pusat Advokasi Tahanan Palestin yang berpangkalan di Gaza pula menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “jenayah perang Israel” yang bakal mencetuskan ketegangan baharu di rantau tersebut.
“Akibat daripada langkah fasis ini akan lebih ganas dan menyeret seluruh wilayah ke dalam kitaran kekacauan baharu yang tidak dapat dijangka hasilnya,” menurut kenyataan NGO itu.
Sejak Oktober 2023, Israel dilaporkan telah menahan secara sewenang-wenangnya ribuan rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki. Sekurang-kurangnya 10,000 orang kini ditahan di penjara Israel, dan angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana banyak maklumat mengenai lokasi tahanan dirahsiakan.
Israel juga telah menghalang lawatan peguam serta Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sejak Oktober 2023.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan larangan lawatan ICRC terhadap tahanan Palestin yang ditahan di bawah undang-undang “pejuang haram”, kebanyakannya dari Gaza.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel telah menggunakan penyeksaan secara sistematik terhadap tahanan Palestin sejak itu, yang mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 80 orang.
Bentuk penyeksaan yang didokumenkan termasuk serangan fizikal, rogol, kekurangan makanan dan tidur, penafian rawatan perubatan, penghinaan serta pelbagai bentuk penderaan lain seperti yang dilaporkan oleh saksi, NGO dan pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut kumpulan hak tahanan Palestin, hampir separuh daripada jumlah tahanan kini ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan dalam tempoh yang boleh dilanjutkan tanpa had, termasuk 3,500 tahanan pentadbiran dan lebih 2,600 yang diklasifikasikan sebagai “pejuang haram.”-The Merdeka Times