Terkini
Hon Wai nasihat Sanusi fokus bangunkan Kedah, bukan isu pajakan lama
- Ahli Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata kedudukan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai kerana ia disenaraikan secara rasmi sebagai salah satu negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
- Wong berkata, Perlembagaan Persekutuan 1957 telah membuka lembaran baharu yang mengatasi semua perjanjian atau dokumen sebelum kemerdekaan, termasuk urusan pajakan Pulau Pinang dengan Kedah yang berlaku lebih dua abad lalu.
- “Sepatutnya Menteri Besar Kedah menjuruskan tenaga beliau untuk menarik pelaburan serta merancang pembangunan ekonomi negeri, bukannya bukannya memulakan satu polemik yang tidak berhasil,” katanya.
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa kedudukan negeri itu sebagai sebuah negeri berdaulat telah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, sekali gus menolak sebarang cubaan menghidupkan semula polemik lama berkaitan isu pajakan Pulau Pinang oleh Kedah.
Ahli Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata kedudukan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai kerana ia disenaraikan secara rasmi sebagai salah satu negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara itu bukan sahaja satu pengiktirafan daripada segi perundangan, malah mencerminkan kedudukan penting Pulau Pinang dalam struktur sejarah dan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata, Perlembagaan Persekutuan 1957 telah membuka lembaran baharu yang mengatasi semua perjanjian atau dokumen sebelum kemerdekaan, termasuk urusan pajakan Pulau Pinang dengan Kedah yang berlaku lebih dua abad lalu.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang memaklumkan kerajaan negeri sedang memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan terhadap Pulau Pinang berhubung isu pajakan sejarah tersebut.
Wong menyifatkan langkah itu tidak membawa sebarang manfaat dan hanya mengundang polemik baharu yang boleh menjejaskan hubungan baik antara dua negeri berjiran.
“Sepatutnya Menteri Besar Kedah menjuruskan tenaga beliau untuk menarik pelaburan serta merancang pembangunan ekonomi negeri, bukannya bukannya memulakan satu polemik yang tidak berhasil,” katanya.
Sebelum ini, Kedah menegaskan sedang meneliti langkah perundangan berkaitan pajakan Pulau Pinang dan menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan, selepas kadar asal RM10,000 setahun tidak pernah dinilai semula sejak tahun 1786. -The Merdeka Times