Terkini
Hisap rokok, vape depan anak undang padah – Doktor
- “Jangan ingat hisap rokok atau vape depan anak tu hal biasa. Hari ni mereka batuk, esok lusa mereka ikut tabiat yang sama,” – Doktor kesihatan lelaki, Dr Ahmad Samhan
- Menurut Dr Ahmad Samhan, nikotin dalam rokok dan vape bukan sahaja boleh merosakkan saluran darah dan organ dalaman, malah turut menjejaskan aliran darah ke alat kelamin lelaki, menyebabkan sesetengah perokok mula mengalami masalah seperti mati pucuk.
KUALA LUMPUR — Doktor kesihatan lelaki terkenal, Dr Ahmad Samhan menegur keras tabiat sesetengah bapa yang merokok atau menghisap vape di hadapan anak-anak, sambil mengingatkan bahawa kesannya bukan hanya kepada kesihatan paru-paru dan jantung, tetapi juga terhadap tenaga serta fungsi lelaki.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa ramai tidak menyedari bahaya jangka panjang asap rokok dan vape, terutama apabila dilakukan di hadapan anak-anak yang mudah meniru tingkah laku ibu bapa.
“Jangan ingat hisap rokok atau vape depan anak tu hal biasa. Hari ni mereka batuk, esok lusa mereka ikut tabiat yang sama,” katanya.
Menurut Dr Ahmad Samhan, nikotin dalam rokok dan vape bukan sahaja boleh merosakkan saluran darah dan organ dalaman, malah turut menjejaskan aliran darah ke alat kelamin lelaki, menyebabkan sesetengah perokok mula mengalami masalah seperti mati pucuk.
“Nikotin tu boleh ganggu aliran darah, sebab tu ramai perokok mula rasa ‘kurang power’. Kalau dah kena mati pucuk, susah juga nanti… last-last kena jumpa saya jugak buat rawatan,” ujarnya bersahaja namun penuh peringatan.
Beliau turut menasihatkan agar perokok mula berhenti perlahan-lahan dan mengubah gaya hidup, selain segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya terdapat tanda awal masalah kesihatan.
“Baik jaga dari sekarang. Berhenti perlahan-lahan, ubah gaya hidup, dan kalau dah ada tanda awal, datang check. Masalah ni boleh dirawat, yang penting jangan diam,” katanya lagi.
Kenyataan beliau mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang menyokong usaha meningkatkan kesedaran terhadap kesan merokok bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi juga generasi muda yang menjadi saksi kepada tabiat itu setiap hari.-The Merdeka Times