Connect with us

Terkini

Fenomena ‘Barcode’: Lima faktor remaja cederakan diri dikenal pasti

Published

on

Foto: Pakar perunding psikiatri, Dr. Ahmad Rostam Md Zin
  • Menurut Pakar perunding psikiatri, Dr. Ahmad Rostam Md Zin fenomena itu tergolong dalam kategori tindakan mencederakan diri dengan sengaja, namun bukan bertujuan membunuh diri. Beliau menekankan, tingkah laku ini merupakan petanda individu menghadapi kesukaran mengawal emosi.
  • “Mereka mungkin tak dapat kenal pasti ataupun tak dapat kesan bahawa mereka sedang anxiety ataupun depression,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
  • Dr. Ahmad turut menekankan peranan media sosial dalam mempengaruhi tingkah laku meniru atau “copycat” dalam kalangan remaja. Tindakan ini berlaku apabila mereka melihat perbuatan tersebut di dalam talian, serta menganggap ia sebagai satu jalan penyelesaian masalah.

KUALA LUMPUR – Pakar perunding psikiatri, Dr. Ahmad Rostam Md Zin mendedahkan lima faktor utama yang dikenal pasti mendorong remaja terlibat dalam fenomena “barcode” iaitu perbuatan menoreh tangan sendiri sebagai cara melepaskan tekanan emosi.

Menurut Dr. Ahmad, fenomena itu tergolong dalam kategori deliberate self-harm, iaitu tindakan mencederakan diri dengan sengaja, namun bukan bertujuan membunuh diri. Beliau menekankan, tingkah laku ini merupakan petanda individu menghadapi kesukaran mengawal emosi.

Beliau menjelaskan antara punca utama tingkah laku ini ialah masalah kesihatan mental yang tidak didiagnosis atau dirawat, seperti kemurungan dan keresahan.

“Mereka mungkin tak dapat kenal pasti ataupun tak dapat kesan bahawa mereka sedang anxiety ataupun depression,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.

Faktor kedua, jelasnya, berpunca daripada sindrom disregulasi emosi akibat pengalaman traumatik sejak kecil termasuk, penderaan, pengabaian, atau hidup dalam persekitaran yang tidak stabil. Keadaan ini menyukarkan remaja mengawal emosi dan meningkatkan risiko bertindak lebih serius.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, persekitaran keluarga yang bermasalah juga menjadi penyumbang utama.

“Remaja yang membesar dalam keluarga yang bergelut dengan isu kesejahteraan, ketagihan, atau konflik rumah tangga sering kehilangan sokongan emosi, lalu mencari jalan melepaskan tekanan dengan cara yang salah,” ujarnya.

Dr. Ahmad turut menekankan peranan media sosial dalam mempengaruhi tingkah laku meniru atau “copycat” dalam kalangan remaja. Tindakan ini berlaku apabila mereka melihat perbuatan tersebut di dalam talian, serta menganggap ia sebagai satu jalan penyelesaian masalah.

Faktor kelima pula ialah kecenderungan impulsif dan keinginan mendapatkan perhatian, di mana sebahagian remaja tidak tahu bagaimana untuk menyuarakan perasaan mereka, jadi mereka mencederakan diri sebagai cara meluahkan tekanan atau meminta tolong.

Dr Ahmad berkata, antara tanda-tanda remaja berdepan tekanan termasuk perubahan tingkah laku ketara, menjadi pendiam, mudah marah, sukar tidur, serta kerap mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Selain itu, mereka juga turut akan menunjukkan kemerosotan di peringkat sekolah, malah kurang interaksi bersama rakan-rakan, sekaligus keadaan ini menyebabkan remaja menjadi tidak aktif,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan ibu bapa dan guru agar peka terhadap perubahan emosi anak-anak serta tidak memandang ringan terhadap tingkah laku tersebut, serta mendengar keluhan hati mereka bagi menunjukkan tanda memberi pertolongan.

“Kita perlu elak meletakkan stigma, kerana tingkah laku ini bukan kelemahan tetapi tanda mereka memerlukan sokongan segera. Jika dibiarkan, tingkah laku ini boleh membawa kemudaratan lebih serius dan menjejaskan kesejahteraan remaja,” tegasnya. – The Merdeka Times

 

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author