Connect with us

Terkini

(VIDEO) Tragedi kebakaran di Hong Kong: 44 maut, 279 lagi hilang

Published

on

Foto: Satu kebakaran ganas memusnahkan sebuah kawasan perumahan di kejiranan Tai Po, Hong Kong.
  • Antara puluhan yang dimasukkan ke hospital, 45 mangsa berada dalam keadaan serius.
  • Kebakaran itu mula dilaporkan pada jam 2.51 petang Rabu dan tidak lama kemudian bertukar menjadi marak, dengan kepulan asap hitam pekat menjulang tinggi ke langit di Wang Fuk Court, dan api pantas merebak ke tujuh daripada lapan blok di kawasan perumahan tersebut.

HONG KONG – Seramai 44 orang terbunuh dan 279 lagi dilaporkan hilang selepas satu kebakaran ganas memusnahkan sebuah kawasan perumahan di kejiranan Tai Po, Hong Kong, dengan api marak membakar perancah buluh pada tujuh blok kediaman.

Antara puluhan yang dimasukkan ke hospital, 45 mangsa berada dalam keadaan serius, menurut Jabatan Perkhidmatan Bomba yang dipetik South China Morning Post.

Kebakaran itu mula dilaporkan pada jam 2.51 petang Rabu dan tidak lama kemudian bertukar menjadi marak, dengan kepulan asap hitam pekat menjulang tinggi ke langit di Wang Fuk Court, dan api pantas merebak ke tujuh daripada lapan blok di kawasan perumahan tersebut.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-chiu berucap kepada orang ramai dalam satu sidang media di Hospital Prince of Wales di Sha Tin awal pagi Khamis, selepas melawat sebuah dewan komuniti pada malam sebelumnya.

Terdahulu, Presiden Hong Kong, Xi Jinping menyampaikan ucapan takziah dalam satu kenyataan lewat malam dan menyeru “usaha habis-habisan” untuk meminimumkan korban dan kerugian, menurut penyiar negara CCTV.

Polis berkata mereka menerima pelbagai laporan mengenai orang yang terperangkap di dalam bangunan tempat kebakaran bermula, dengan seorang lelaki dan seorang wanita dilaporkan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan melecur.

Kebakaran itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kebakaran Amaran No. 1 tetapi dengan cepat dinaikkan ke No. 4 pada jam 3.34 petang dan kemudian ke tahap tertinggi No. 5 pada jam 6.22 petang. 

Di Hong Kong, kebakaran dinilai pada skala satu hingga lima, dengan nombor lebih tinggi menunjukkan tahap keterukan yang lebih besar.

Rakaman dari lokasi menunjukkan perancah buluh di luar beberapa unit kediaman bangunan itu dijilat api, dengan bahagian jaring perancah hijau yang terbakar jatuh ke tanah.

Perancah sebegitu lazim digunakan untuk kerja pembinaan dan pengubahsuaian. Pelbagai kemungkinan punca kebakaran sedang dipertimbangkan ketika pihak berkuasa berikrar untuk melancarkan siasatan penuh, termasuk siasatan jenayah. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author