Terkini
Cadangan Guan Eng tentang peruntukan rumah ibadat bukan Islam tidak wajar – Ketua Pemuda PAS Selangor
- “DAP sebagai parti yang mendakwa menjunjung Perlembagaan sepatutnya memahami dan mematuhi semangat Perlembagaan Negara. Banyak tuntutan mereka sebelum ini, termasuk cadangan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT), perlu diteliti dari sudut pelaksanaan dan kesesuaiannya dengan perundangan sedia ada,” – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar
- Guan Eng minggu lalu menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan bagi tabung penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Islam, bagi menunjukkan contoh kepimpinan yang inklusif dan seimbang.
SHAH ALAM – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menegaskan bahawa sebarang cadangan berkaitan pembangunan rumah ibadat bukan Islam mestilah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh bertentangan dengan prinsip asas negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Sejauh mana Perlembagaan memberikan ruang tersebut perlu dilihat dengan teliti, sambil memastikan prinsip utama iaitu Islam sebagai agama Persekutuan terus dipelihara,” katanya ketika mengulas cadangan yang dilontarkan oleh Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Guan Eng minggu lalu menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan bagi tabung penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan Islam, bagi menunjukkan contoh kepimpinan yang inklusif dan seimbang.
Beliau berkata langkah itu boleh menjadi teladan kepada Kerajaan Persekutuan agar mencontohi pendekatan yang lebih adil dalam pengagihan dana agama.
Menurut Mohamed Sukri, DAP sering mengemukakan pelbagai tuntutan yang didakwanya bertentangan dengan kontrak sosial dan semangat Perlembagaan Negara.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar parti itu bersikap rasional dan menghormati asas undang-undang tertinggi negara.
“DAP sebagai parti yang mendakwa menjunjung Perlembagaan sepatutnya memahami dan mematuhi semangat Perlembagaan Negara. Banyak tuntutan mereka sebelum ini, termasuk cadangan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT), perlu diteliti dari sudut pelaksanaan dan kesesuaiannya dengan perundangan sedia ada,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan yang berpotensi menggugat keseimbangan hubungan antara kaum dan agama perlu ditolak, kerana ia boleh menjejaskan keharmonian nasional yang telah lama terbina.
“Saya berpandangan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh Lim Guan Eng adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.-The Merdeka Times