Antarabangsa
Ben-Gvir desak bunuh pemimpin PA jika PBB iktiraf negara Palestin
- Menurut laporan beberapa media Israel, Ben-Gvir turut melabel pemimpin PA sebagai “pengganas” pada mesyuarat parti Otzma Yehudit.
- Beliau turut menyasarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dengan mendakwa sel kurungan bersendirian di penjara Ketziot sudah “sedia” untuknya.
- Pada masa sama, Israel menegaskan PA tidak akan diberi peranan mentadbir Gaza walaupun cadangan AS membuka ruang kepada pentadbiran teknokrat Palestin di bawah sebuah “lembaga keamanan” antarabangsa.
PALESTIN – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, menggesa agar pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dibunuh sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan usaha ke arah pengiktirafan negara Palestin dalam undi yang dijadualkan pada Isnin.
Menurut laporan beberapa media Israel, Ben-Gvir turut melabel pemimpin PA sebagai “pengganas” pada mesyuarat parti Otzma Yehudit.
Ben-Gvir dilapor berkata bahawa jika PBB mengiktiraf negara Palestin, Israel wajar melakukan “pembunuhan tersasar terhadap pegawai kanan PA”, seperti dipetik oleh akhbar Jerusalem Post.
Beliau turut menyasarkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dengan mendakwa sel kurungan bersendirian di penjara Ketziot sudah “sedia” untuknya.
Kenyataan keras itu menerima kecaman segera daripada Kementerian Luar Palestin dan Presiden Palestin, masing-masing menyifatkan kenyataan Ben-Gvir sebagai hasutan sistematik dan memegang kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya.
Palestin turut menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan konkrit terhadap menteri radikal tersebut.
Undi Majlis Keselamatan PBB dijangka membabitkan resolusi berkaitan pelan gencatan senjata Gaza yang dikemukakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat , Donald Trump.
Resolusi itu turut menyebut sokongan kepada “laluan kredibel” menuju penentuan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin serta pembentukan pasukan penstabilan antarabangsa.
Israel bagaimanapun berusaha mengubah teks resolusi berkenaan bagi mengelakkan sebarang rujukan kepada negara Palestin, selaras dengan pendirian Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang menolak penubuhan negara berdaulat Palestin.
Ben-Gvir pula memperluaskan penolakannya dengan mendakwa “tiada wujud bangsa Palestin”, sambil menuduh rakyat Palestin sebagai imigran dari negara Arab yang “menyebarkan keganasan”.
Pemimpin Israel lain, termasuk Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, terus menolak idea negara Palestin dan sebaliknya menggesa pengilhakan wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Pada masa sama, Israel menegaskan PA tidak akan diberi peranan mentadbir Gaza walaupun cadangan AS membuka ruang kepada pentadbiran teknokrat Palestin di bawah sebuah “lembaga keamanan” antarabangsa.
Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin di Gaza menolak draf resolusi PBB tersebut, memberi amaran bahawa ia akan membuka ruang kepada kawalan asing ke atas keputusan politik Palestin.
Mereka menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan harus diuruskan institusi Palestin di bawah penyeliaan PBB, serta menolak sebarang usaha melucutkan senjata Gaza atau mengekang hak untuk menentang pendudukan Israel.-The Merdeka Times