Connect with us

Terkini

Asyraf Wajdi bidas pandangan peperiksaan lahirkan ‘burung kakak tua’

Published

on

Foto: Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
  • “Alasan tidak munasabah. Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘Burung Kakak Tua’, maka SPM juga patut dimansuhkan. Peperiksaan seperti UPSR untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Wajar dikembalikan!,” tegas beliau dalam hantaran di Facebooknya.
  • Asyraf turut menyenaraikan lima alasan utama mengapa UPSR perlu dikembalikan.

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa alasan kononnya peperiksaan melahirkan generasi “burung kakak tua” adalah tidak munasabah.

Beliau berkata, jika benar peperiksaan melahirkan generasi sedemikian, maka peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga sepatutnya dimansuhkan.

“Alasan tidak munasabah. Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘Burung Kakak Tua’, maka SPM juga patut dimansuhkan.

“Peperiksaan seperti UPSR untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Wajar dikembalikan!,” tegas beliau dalam hantaran di Facebooknya.

Dr. Asyraf turut menyenaraikan lima alasan utama mengapa UPSR perlu dikembalikan.

Pertama, peperiksaan membantu pelajar menilai sejauh mana mereka memahami dan menguasai ilmu yang telah dipelajari, di samping membantu guru mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki atau ditekankan semula.

“Kedua, peperiksaan mencanai sifat disiplin dan tanggungjawab kerana ia memerlukan perancangan, usaha gigih dan disiplin masa, sekali gus membentuk sikap bertanggungjawab serta tabah menghadapi tekanan.

“Ketiga, peperiksaan seperti UPSR penting untuk proses penyaringan bagi kemasukan ke peringkat lebih tinggi termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah vokasional,” jelas beliau.

Tambahnya, peperiksaan mendorong pelajar berusaha lebih keras, meningkatkan daya saing yang sihat dan semangat untuk berjaya.

Proses menghadapi peperiksaan juga mampu mendidik erti sabar, tawakal dan reda serta mengajar bahawa kejayaan memerlukan usaha berterusan dan tidak datang dengan mudah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berpendapat pencapaian murid tidak seharusnya dinilai melalui peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dibuat secara holistik bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang atas kertas, tetapi juga bersahsiah tinggi.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata hanya akan melahirkan generasi “burung kakak tua”.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author