Antarabangsa
AS beli dron Israel diuji ke atas orang awam Gaza
- Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat didedahkan menandatangani kontrak bernilai puluhan juta dolar dengan syarikat Israel, XTEND Reality Inc.
- XTEND turut mengiklankan teknologinya sebagai mempunyai “pengalaman medan perang”, satu frasa yang lazim digunakan Israel bagi menggambarkan senjata yang diuji ke atas rakyat Palestin.
PALESTIN– Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat didedahkan menandatangani kontrak bernilai puluhan juta dolar dengan syarikat Israel, XTEND Reality Inc., bagi membangunkan dan membekalkan kit dron serangan sehala berkeupayaan AI yang dikenali sebagai ACQME-DK, iaitu sistem yang dilaporkan telah diuji ke atas keluarga Palestin di Gaza.
Kontrak tersebut menamakan Pejabat Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Operasi Khas/ Konflik Intensiti Rendah sebagai pembeli utama.
Menurut XTEND, kit itu membolehkan serangan lebih tepat serta meningkatkan keselamatan pengendali dalam operasi di kawasan bandar dan lokasi sempit di luar bandar.
XTEND turut mengiklankan teknologinya sebagai mempunyai “pengalaman medan perang”, satu frasa yang lazim digunakan Israel bagi menggambarkan senjata yang diuji ke atas rakyat Palestin.
Syarikat itu mengesahkan ia telah digunakan oleh tentera Israel serta dikerahkan di beberapa “teater operasi” lain.
Menurut laporan, XTEND berjaya memperoleh kontrak Pentagon selepas bersaing dengan beberapa firma Amerika, termasuk Anduril.
Pegawai syarikat mendakwa bahawa “pengalaman tempur” yang diperoleh di Israel dan Ukraine membantu mereka memenangi tender tersebut.
XTEND kini mengendalikan sebuah fasiliti pembuatan di Tampa, Florida, dan akan menyediakan latihan, alat ganti serta penyelenggaraan dari lokasi itu. Syarikat tersebut turut merancang membuka lebih banyak kilang di luar Israel bagi memperluas pengeluaran dron berteknologi tinggi itu.
Tentera Israel secara rutin memuat naik video penggunaan dron terhadap orang awam Palestin, termasuk operasi serangan udara berskala kecil di kawasan padat penduduk.
Organisasi pemantau hak asasi, Euro-Med Human Rights Monitor, melaporkan bahawa penggunaan dron kuadkopter oleh tentera Israel di Gaza semakin meningkat.
Menurut kumpulan itu, dron-dron tersebut digunakan sebagai alat intimidasi psikologi, pemantauan berterusan dan pembunuhan tersasar. Ia sering terbang rendah di atas lorong, khemah dan kawasan perlindungan penduduk yang dipindahkan, dengan tujuan menimbulkan ketakutan berpanjangan.
Saksi juga memaklumkan bahawa dron berkenaan menyiarkan bunyi menakutkan termasuk suara kanak-kanak menjerit, orang tua menangis, wanita meratap serta siren ambulans palsu. Taktik bunyi itu didakwa sengaja direka untuk melemahkan emosi dan menjadikan kawasan perlindungan awam terasa seperti perangkap maut.-The Merdeka Times