Connect with us

Terkini

ART tidak mengikat Malaysia, kita kekal merdeka dan  berdaulat – PM

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Tuduhan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) mengikat atau menggadaikan negara tidak berasas sama sekali.
  • “Kita baru saja memeterai kerjasama super magnet dengan Korea, manakala PETRONAS–Khazanah sedang memuktamadkan usaha sama nadir bumi dengan China. Jika benar kita ‘terikat’, semua ini pastinya terhenti.” – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dakwaan kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) mengikat atau menggadaikan kedaulatan negara adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti dasar perdagangan Malaysia.

Menurutnya, kerajaan tetap bebas menentukan hubungan luar serta hala tuju ekonomi negara tanpa tekanan mana-mana kuasa besar.

Beliau berkata Malaysia terus mengurus sektor strategik seperti nadir bumi, semikonduktor dan mata wang mengikut kepentingan sendiri.

Anwar menjelaskan bahawa kerjasama nadir bumi tidak pernah terbatas kepada Amerika Syarikat, malah Malaysia baru-baru ini memeterai kerjasama super magnet dengan Korea serta usaha sama PETRONAS–Khazanah dengan China.

“Jika benar kita terikat, semua ini pastinya terhenti,” katanya.

Dalam sektor semikonduktor, Anwar menegaskan Malaysia tetap menentukan dasar tanpa campur tangan pihak luar. Pelaburan Jerman dan China, katanya, kekal bebas mengeksport cip ke China tanpa sekatan. Beliau menyifatkan perkara itu sebagai bukti bahawa Malaysia tidak kehilangan autonomi dan tidak ‘menggadai’ kepentingan negara.

Bagi isu mata wang pula, Perdana Menteri memaklumkan bahawa transaksi ringgit–yuan, ringgit–baht dan ringgit–rupiah terus berjalan lancar.

Tiada satu pun dasar kewangan atau perdagangan Malaysia yang terhenti atau tersekat akibat ART, sekali gus menolak naratif bahawa Malaysia dikongkong melalui perjanjian tersebut.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia tidak tunduk kepada tekanan geopolitik Amerika Syarikat, termasuk dalam isu BRICS.  Walaupun AS mengambil pendirian keras terhadap blok itu, Malaysia tetap hadir dan terlibat.

“Saya sendiri akan ke sidang G20 di Afrika Selatan walaupun Amerika memboikot,” ujarnya sebagai bukti pendirian bebas Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia tetap berpegang kepada prinsip berkecuali dan bebas menentukan dasar antarabangsa berdasarkan kepentingan negara, bukan kehendak mana-mana kuasa besar.

Malaysia, katanya, tidak pernah menyerahkan hak menentukan dasar kepada pihak luar.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa ART tidak mengekang, mengikat atau memaksa Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat.

“Malaysia kekal merdeka, bebas dan berdaulat. Dasar negara kekal ditentukan oleh kita sendiri,” tegasnya, menutup kenyataan dengan penegasan bahawa kedaulatan negara tidak pernah dikompromi.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author