Terkini
ART tidak berat sebelah, Liew Chin Tong jawab Rafizi, Wong Chen & Nik Nazmi
- Beliau merujuk kenyataan bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memetik ucapannya di sebuah forum pada 3 November 2025, kononnya sebagai bukti Malaysia “dipaksa” menyertai rundingan dan tidak berada dalam kedudukan rakan setara.
- Liew menegaskan kenyataan itu dipetik tanpa konteks penuh dan tindakan tersebut membuka ruang salah tafsir terhadap maksud sebenar yang beliau sampaikan.
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menolak dakwaan tiga Ahli Parlimen kerajaan yang menyifatkan perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) sebagai berat sebelah, sambil menegaskan bahawa pandangan tersebut berasaskan petikan yang diambil secara selektif dan mengelirukan.
Beliau merujuk kenyataan bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang memetik ucapannya di sebuah forum pada 3 November 2025, kononnya sebagai bukti Malaysia “dipaksa” menyertai rundingan dan tidak berada dalam kedudukan rakan setara.
Liew menegaskan kenyataan itu dipetik tanpa konteks penuh dan tindakan tersebut membuka ruang salah tafsir terhadap maksud sebenar yang beliau sampaikan.
Katanya, ucapan beliau di Persidangan Perniagaan MIER berkaitan Belanjawan 2026, SST dan Perdagangan Antarabangsa perlu dilihat dalam konteks lebih luas melibatkan landskap perdagangan global ketika ini.
Menurutnya, selepas Presiden Donald Trump mengenakan tarif tinggi ke atas semua rakan dagang Amerika Syarikat pada 2 April, setiap negara pengeksport utama termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Kesatuan Eropah tidak mempunyai pilihan selain untuk terlibat dalam rundingan.
Malaysia berada dalam keadaan sama.
“Intipati ucapan saya ialah Malaysia dan negara pengeksport lain mesti mengembangkan permintaan domestik dan serantau serta mempelbagaikan perdagangan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dalam jangka panjang,” katanya di hantaran Facebook milik beliau hari ini.
Liew menjelaskan bahawa meskipun keadaan global mencabar, Malaysia tetap mencapai hasil positif dalam ART apabila kadar tarif ke atas produk Malaysia berjaya dikurangkan daripada 24–25 peratus kepada 19 peratus, selain membuka akses pasaran yang lebih luas dan memberi kestabilan kepada ekonomi.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian tersebut tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia, dan dakwaan tiga Ahli Parlimen itu bahawa Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3 akan mengongkong hak berdaulat Malaysia adalah tidak berasas.
“Perjanjian ini dengan jelas menyatakan pelaksanaannya mesti dibuat selaras dengan undang-undang dan peraturan domestik sendiri serta hanya dalam perkara yang melibatkan kebimbangan ekonomi dan keselamatan bersama,” katanya.
Liew berkata cadangan mereka untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), memulakan rundingan semula dan cadangan lain adalah tidak perlu kerana ia berpunca daripada salah faham terhadap terma-terma ART dan konteks perdagangan global.
Menurutnya, langkah sedemikian hanya akan menimbulkan ketidaktentuan kepada ekonomi dan pasaran.
Beliau menegaskan MITI sentiasa bersedia memberi taklimat kepada semua Ahli Parlimen dan menekankan bahawa pengawasan Parlimen penting tetapi mesti dilakukan dengan niat yang baik, bukan melalui gambaran “separuh benar” yang menimbulkan keresahan rakyat.
“Kerajaan dan MITI jelas dalam pendirian. Kami melindungi pekerjaan dan pasaran eksport yang bergantung kepada pasaran AS, pada masa sama kami membina ketahanan domestik, memperkukuh ekonomi ASEAN, dan mempelbagaikan hubungan perdagangan,” katanya. -The Merdeka Times