Terkini
Anak Kelantan tertinggi dalam sektor awam : Bukan atas ihsan, Tetapi atas kelayakan – Timbalan MB
- “Kita bersyukur dan mesti sedar bahawa duduknya kita di situ atas kelayakan, bukan ehsan. Maka jangan rasa rendah diri, tetapi juga jangan bersikap sombong,”- Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan
- Menurut laporan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, seramai 170,383 anak Kelantan kini berkhidmat dalam sektor awam, bersamaan 13 peratus daripada keseluruhan 1.3 juta penjawat awam di negara ini menjadikan negeri itu penyumbang terbesar kepada perkhidmatan kerajaan.
KELANTAN — Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa kedudukan anak Kelantan dalam sektor awam bukanlah atas faktor ihsan, sebaliknya berasaskan kelayakan, kebolehan dan prestasi yang terbukti.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang menunjukkan Kelantan mencatatkan jumlah penjawat awam tertinggi di Malaysia, berdasarkan data Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) sehingga 24 September 2025.
Menurut laporan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, seramai 170,383 anak Kelantan kini berkhidmat dalam sektor awam, bersamaan 13 peratus daripada keseluruhan 1.3 juta penjawat awam di negara ini menjadikan negeri itu penyumbang terbesar kepada perkhidmatan kerajaan.
Datuk Dr. Mohamed Fadzli dalam reaksinya menzahirkan rasa syukur atas pencapaian tersebut, namun mengingatkan agar semua penjawat awam anak Kelantan sentiasa berpegang kepada nilai jati diri yang luhur dan berakhlak mulia.
“Kita bersyukur dan mesti sedar bahawa duduknya kita di situ atas kelayakan, bukan ehsan. Maka jangan rasa rendah diri, tetapi juga jangan bersikap sombong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sumbangan besar anak Kelantan dalam perkhidmatan awam membuktikan kemampuan sumber insan negeri itu yang berintegriti, amanah dan profesional.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar turut menyeru agar setiap penjawat awam anak Kelantan di seluruh negara mengekalkan jati diri yang mencerminkan “Syakhsiyyah Kelantaniyyah” iaitu keperibadian yang beragama, ramah, ceria, bertoleransi serta suka menolong antara satu sama lain.
“Kita mahu semua anak Kelantan yang berkhidmat sebagai penjawat awam menonjolkan nilai dan peribadi unggul agar terus membawa imej baik negeri serta menangkis tanggapan negatif terhadap anak Kelantan,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan rakyat Kelantan dalam sektor awam, tetapi juga komitmen mereka untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dengan semangat amanah dan tanggungjawab tinggi.-The Merdeka Times