Connect with us

Terkini

Ahli Parlimen PN: ‘Jangan lengah siasat dakwaan salah laku Shamsul Iskandar’

Published

on

Foto: Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) dan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan).
  • Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata beliau menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
  • “Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih,” katanya.
  • MP PN juga memandang serius pendedahan oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei bahawa beliau telah memberikan lebih dari RM600,000 kepada Shamsul berkait skandal perlombongan mineral di negeri Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (MP PN) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera menjalankan siasatan bebas, menyeluruh dan tanpa berlengah, berhubung dakwaan salah laku melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Gesaan itu dibuat susulan peletakan jawatan Shamsul Iskandar hari ini, yang dikaitkan dengan isu surat sokongan kepada beberapa kontraktor bagi projek-projek Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lalu, isu yang turut dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata beliau menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

“Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih.

“MP PN kekal komited pada prinsip-prinsip ketelusan, akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang bagi menjamin keutuhan institusi kerajaan, maruah negara dan keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut beliau, MP PN juga memandang serius pendedahan oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei bahawa beliau telah memberikan sebanyak lebih dari RM600,000 kepada individu yang sama berkait skandal perlombongan mineral di negeri Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini.

“Menurut ahli perniagaan itu lagi, beliau telah menyusun dokumen lebih 300 halaman, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp, resit dan gambar, bagi menyokong dakwaannya,” ujarnya.

Semalam, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan MADANI.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Shamsul Iskandar menulis surat sokongan untuk projek pembinaan sebuah hospital pada 2024, sekali gus mendesak beliau dipecat.

Bagaimanapun, Anwar pada 21 November lalu berkata, tiada keperluan untuk membuat laporan terhadap tindakan setiausaha politik beliau berkenaan.

Anwar sebelum itu mengesahkan telah memberi teguran yang keras ke atas setiausaha politiknya kerana surat sokongan merupakan hal yang bertentangan dengan peraturan.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengangkat sumpah selaku Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 23 Disember 2022. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author