Connect with us

Antarabangsa

2,000 tentera Turkiye sedia sertai Pasukan Penstabilan Gaza

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Israel dilapor membantah rancangan tersebut sementara Washington masih belum membuat keputusan rasmi.
  • Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian, menegaskan bahawa “tidak akan ada tentera Turkiye di bumi Gaza”.
  • Turkiye dilihat berhasrat memainkan peranan langsung dalam pemulihan Gaza pasca perang termasuk aspek keselamatan dan pembinaan semula, di bawah rangka kerja diketuai PBB.

ANKARA – Kerajaan Turkiye dilaporkan sedang memuktamadkan rancangan bagi menghantar ratusan anggota tenteranya ke Gaza sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman antarabangsa yang akan ditubuhkan bagi menstabilkan wilayah berkenaan pasca perang, menurut laporan Middle East Eye (MEE).

Sumber yang rapat dengan perkara itu memaklumkan bahawa sebuah briged pengaman yang dianggarkan melibatkan sekurang-kurangnya 2,000 anggota sedang disusun daripada pelbagai cabang angkatan tentera Turki.

Pasukan ini dijangka terdiri daripada anggota berpengalaman dalam misi pengaman dan zon konflik, dan akan beroperasi bersama negara rakan lain di bawah pasukan penstabilan antarabangsa Gaza.

Rancangan keamanan Gaza yang dirangka di bawah inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meletakkan Turkiye sebagai antara negara utama yang akan mengambil alih sebahagian besar kawasan di semenanjung Palestin itu daripada pentadbiran Hamas.

Namun, Israel dilaporkan membantah rancangan tersebut sementara Washington masih belum membuat keputusan rasmi dan Majlis Keselamatan PBB belum meluluskan sebarang resolusi berkaitan.

Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian, menegaskan bahawa “tidak akan ada tentera Turkiye di bumi Gaza”.

Sumber Turkiye pula menyatakan bahawa keengganan Israel berpunca daripada rasa tidak selesa terhadap kehadiran sekutu NATO yang beroperasi di bawah mandat PBB, mandat yang masih belum diperoleh secara rasmi.

Turkiye dilihat berhasrat memainkan peranan langsung dalam pemulihan Gaza pasca perang termasuk aspek keselamatan dan pembinaan semula, di bawah rangka kerja diketuai PBB. Ankara juga ingin menyumbang dalam pelaksanaan gencatan senjata dan usaha bantuan kemanusiaan.

Dalam masa sama, Turkiye dipercayai terlibat secara diplomatik dalam pemulangan mayat askar Israel, Hadar Goldin, yang terbunuh di Gaza 11 tahun lalu, hasil rundingan dengan Hamas.

Menurut laporan MEE, lebih 1,000 anggota tentera darat Turkiye telah pun menawarkan diri untuk menyertai misi Gaza tersebut, bersama anggota kejuruteraan, logistik dan pelupusan bahan letupan.

Belum jelas sama ada unit tentera laut akan turut serta, namun misi itu dijangka dikendalikan sebagai pasukan pelbagai negara di bawah penyelarasan bersama.

Pegawai keselamatan Turkiye menegaskan penyertaan Ankara adalah penting bagi menstabilkan Gaza dan mengelakkan konflik berulang.

“Kehadiran Turkiye akan memastikan keseimbangan dan kredibiliti di lapangan,” kata seorang pegawai kepada MEE. Namun, keputusan muktamad mengenai mandat pasukan itu dijangka hanya dibuat selepas rundingan antara PBB dan pihak serantau dalam masa terdekat.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author