Terkini
19 fasiliti kesihatan ditutup terkesan banjir – Dr Dzulkefly
- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat 3 petang semalam, sebanyak tujuh negeri masih terjejas iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Selangor dan Pahang.
- Menurut Dzulkefly, jumlah mangsa terkini ialah seramai 27,955 orang (meningkat 8.6 peratus), manakala jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula sebanyak 222 (meningkat 13.5 peratus).
- “Sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan telah digerakkan ke kawasan terjejas dan seramai 2,083 mangsa telah mendapat rawatan setakat ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Sebanyak 49 fasiliti kesihatan terkesan akibat banjir dan daripada jumlah itu, 19 fasiliti terpaksa ditutup dan operasi dipindahkan, manakala 27 lagi masih beroperasi dengan pelarasan, dan tiga fasiliti di Perlis tidak beroperasi sepenuhnya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan setakat 3 petang semalam, sebanyak tujuh negeri masih terjejas iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Selangor dan Pahang.
Menurut Dzulkefly, jumlah mangsa terkini ialah seramai 27,955 orang (meningkat 8.6 peratus), manakala jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula sebanyak 222 (meningkat 13.5 peratus).
“Sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan telah digerakkan ke kawasan terjejas dan seramai 2,083 mangsa telah mendapat rawatan setakat ini.
“Antaranya ialah kes jangkitan saluran pernafasan (ARI) 376 kes; jangkitan kulit 92 kes; Gastroenteritis akut (AGE/cirit-birit) 15 kes; serta Konjunktivitis (sakit mata) 4 kes,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Dzulkefly, tiada wabak dikesan di mana-mana PPS, namun seramai dua kematian berkaitan banjir dilaporkan di Kelantan.
Beliau berkata maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan dan keselamatan semasa banjir boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi dan media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia. – The Merdeka Times