Agama
(VIDEO)Blockchain patut diterajui dunia Islam – Aliff Ahmad
KUALA LUMPUR — Teknologi blockchain sepatutnya diterajui oleh orang Islam kerana asas dan falsafahnya berpaksikan integriti, ketelusan serta keadilan, bukan penyalahgunaan seperti yang sering digambarkan.
Pembangun sistem blockchain, Aliff Ahmad, berkata tanggapan negatif terhadap blockchain berpunca daripada kegagalan memahami asas teknologi itu, bukan kerana kelemahan pada sistemnya sendiri.
“Semua benda orang boleh salah guna. Tapi bagi kami yang faham tentang kebaikan teknologi ini, semua ini alasan. Sebenarnya mereka gagal faham kehebatan dan potensi blockchain,” katanya dalam program Analisis bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times.
Menurut Aliff, ramai pihak termasuk ulama dan pembuat dasar menolak kripto serta blockchain pada peringkat awal kerana tidak memahami konsep asas kriptografi dan struktur blockchain yang berasaskan open ledger atau rekod terbuka.
“Mula-mula dulu, kebanyakan ulama kata haram sebab mereka tak faham blockchain itu apa, tak tahu kriptografi itu apa, dan tak tahu betapa ‘high integrity’-nya teknologi ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan, teknologi blockchain sebenarnya berpotensi besar menyokong prinsip Islam seperti keadilan dan ketelusan kerana membolehkan urus niaga berlaku terus antara dua pihak tanpa pengawasan pihak ketiga seperti bank.
“Saya percaya blockchain sepatutnya digariskan oleh orang Islam. Kalau saya dan akak boleh berurusan secara berintegriti, kita tak perlukan orang tengah jaga. Semua rekod boleh disemak bersama secara terbuka,” ujarnya.
Aliff turut mendedahkan bahawa ketika Malaysia masih ragu-ragu terhadap pembangunan sistem berasaskan blockchain, negara jiran seperti Singapura sudah melihat peluang ekonomi daripadanya dan mengambil langkah lebih pantas.
“Apabila kerajaan kita masih tak faham, saya kata, kalau nak lancar sistem, buat di Singapura. Pada tahun 2018 atau 2019, mereka sudah jadi negara mesra blockchain dan boleh kutip cukai lebih 60 bilion. Tapi kita masih terkebelakang,” katanya.
Beliau menyifatkan sikap terlalu berhati-hati dan perdebatan “boleh atau tidak boleh” menyebabkan umat Islam terus ketinggalan dalam mengejar potensi teknologi baharu.
“Kita beli kereta, tak kunci, orang curi, takkan nak salahkan kereta. Begitulah blockchain. Masalahnya bukan pada teknologinya, tapi pada manusia yang salah guna,” tegasnya.
Aliff turut menyindir segelintir pihak pembuat garis panduan kewangan yang menilai teknologi tanpa pernah menggunakannya sendiri.
“Ada yang tulis garis panduan, tapi wallet Bitcoin pun tak pernah ada. Macam mana nak faham kalau tak pernah cuba?” katanya.
Dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Mac lalu menyatakan peningkatan ekosistem aset digital di Malaysia mencerminkan semakin tinggi tahap kesedaran pelabur tempatan terhadap kelas aset baharu, khususnya aktiviti perdagangan aset kripto.
SC berkata pertumbuhan ini turut didorong oleh kehadiran pemain yang dikawal selia dalam pasaran, sejajar dengan agenda digitalnya bagi mewujudkan pendemokrasian pasaran modal yang lebih pelbagai.-The Merdeka Times