Connect with us

Terkini

Tiada rekod Kampung Sungai Baru di bawah MAS – Dr. Zaliha

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa
  • “Tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah MAS atau rizab Melayu, walaupun perkara ini ada disebut Tan Sri Ambrin Buang,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
  • Menurut Zaliha, cadangan bagi merizabkan semula Kampung Sungai Baru kepada kawasan MAS perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana tertakluk kepada persetujuan kepada keseluruhan dari pemilik-pemilik tanah.
  • “Ini kerana tanah-tanah ini telah diberi milik dan cadangan ini perlu dimohon oleh pemilik tanah, dan bukannya dimulakan oleh kerajaan,” ujarnya,” jelasnya.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan tiada rekod menunjukkan tanah Kampung Sungai Baru sebagai tanah di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS) atau rizab Melayu.

Zaliha memaklumkan perkara tersebut susulan kenyataan yang dibuat Ahli Dewan Diraja Selangor dan juga bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang, baru-baru ini bahawa kajian sejarah dan dokumen pewartaan asal, Kampung Sungai Baru sebenarnya sebahagian daripada tanah MAS yang diwartakan sejak tahun 1901.

“Tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah MAS atau rizab Melayu, walau pun perkara ini ada disebut Tan Sri Ambrin Buang.

“Saya mohon maaf kerana tidak boleh mengulas panjang tentang isu ini memandangkan isu ini masih lagi di dalam proses pengurusan kes di mahkamah.

“Cuma apa yang saya boleh katakan adalah berdasarkan semakan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), tanah tersebut tidak pernah diwartakan sebagai kawasan MAS atau tanah rizab Melayu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, sejarah tapak Kampung Sungai Baru terbentuk pada tahun 1967, iaitu tujuh tahun sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Persekutuan, di mana Kerajaan negeri Selangor pada ketika itu menjajar dan meluruskan Sungai Klang yang terletak bersebelahan di kawasan tanah MAS bagi mengatasi masalah air bah di kawasan tersebut.

“Pengalihan laluan Sungai Klang ini melibatkan kawasan di sebelah kanan Sungai Klang, dari hulu sungai ke hilir. Setelah sungai tersebut diluruskan, maka wujudlah tanah baru yang dianggarkan seluas lebih kurang 16 ekar.

“Tanah baru inilah yang dinamakan Kampung Sungai Baru tetapi tidak termasuk di dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar. Tanah ini kemudiannya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS bertujuan untuk menambah penempatan orang Melayu di sekitar Kampung Baru,” jelasnya.

Menurut Zaliha, cadangan bagi merizabkan semula Kampung Sungai Baru kepada kawasan MAS perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana tertakluk kepada persetujuan kepada keseluruhan dari pemilik-pemilik tanah.

“Status semasa menunjukkan keseluruhan tanah Kampung Sungai Baru telah dimiliki pemaju dan pemilik-pemilik unit individu.

“Ini kerana tanah-tanah ini telah diberi milik dan cadangan ini perlu dimohon oleh pemilik tanah, dan bukannya dimulakan oleh kerajaan,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author