Terkini
Tan Sri Ambrin gesa kerajaan isytihar semula Kampung Sungai Baru sebagai tanah Melayu MAS
- Bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu itu turut menjelaskan selepas kerja-kerja meluruskan Sungai Klang pada tahun 1967, tanah baharu seluas 16.31 ekar telah terbentuk di tebing kanan sungai, berhampiran Kampung Sungai Baru.
- Berdasarkan pewartaan tahun 1932, kawasan ini juga termasuk dalam takrif “the right bank of Klang River” di bawah warta MAS, menjadikannya sebahagian daripada tanah yang sepatutnya diklasifikasikan untuk penempatan orang Melayu.
- “Surat kelulusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 5 Mei 1970 juga dengan jelas menyatakan bahawa tanah Kampung Sungai Baru mempunyai sekatan yang melarang pemilikan oleh bukan Melayu. Ini memperkukuh fakta bahawa kawasan tersebut sememangnya bertujuan untuk penempatan orang Melayu,” katanya.
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang, menggesa kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk mewartakan semula Kampung Sungai Baru sebagai tanah di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS) bagi memastikan hak dan kepentingan orang Melayu terus terpelihara.
Beliau yang juga anak jati Kampong Bharu dan Ahli Dewan Diraja Selangor, menyuarakan kebimbangan terhadap status pembangunan semula kawasan berkenaan yang kini menjadi tumpuan pelbagai pihak.
Menurutnya, berdasarkan kajian sejarah dan dokumen pewartaan asal, Kampung Sungai Baru sebenarnya sebahagian daripada tanah MAS yang diwartakan sejak tahun 1901.
Dalam satu kenyataan media yang dikongsi laman Facebook Selangor Royal Office, Tan Sri Ambrin menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor bertarikh 18 September lalu, yang menegaskan kepentingan memelihara maruah dan kelangsungan orang Melayu di Kampong Bharu serta menasihatkan agar setiap pembangunan mengambil kira kepentingan masyarakat Melayu di kawasan tersebut.
Menurut beliau, titah berkenaan mencerminkan keprihatinan tinggi Tuanku terhadap isu Kampung Bharu dan Kampung Sungai Baru, termasuk kesudian Baginda untuk menjemput beliau bersama beberapa tokoh lama Kampong Bharu dan pegawai kanan kerajaan negeri bagi membincangkan perkara tersebut.
Mengulas sejarahnya, beliau menjelaskan tanah Kampong Bharu yang berkeluasan kira-kira 220 ekar telah diwartakan sebagai MAS pada 12 Januari 1900 hasil kurniaan Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Pewartaan itu bertujuan memberi ruang kepada penduduk Melayu untuk bertani dan menetap di Kuala Lumpur, dan kekal hingga kini walaupun fungsinya telah berubah daripada pertanian kepada penempatan.
Beliau menjelaskan bahawa selepas kerja-kerja meluruskan Sungai Klang pada tahun 1967, tanah baharu seluas 16.31 ekar telah terbentuk di tebing kanan sungai, berhampiran Kampung Sungai Baru.
Berdasarkan pewartaan tahun 1932, kawasan ini juga termasuk dalam takrif “the right bank of Klang River” di bawah warta MAS, menjadikannya sebahagian daripada tanah yang sepatutnya diklasifikasikan untuk penempatan orang Melayu.
“Surat kelulusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 5 Mei 1970 juga dengan jelas menyatakan bahawa tanah Kampung Sungai Baru mempunyai sekatan yang melarang pemilikan oleh bukan Melayu. Ini memperkukuh fakta bahawa kawasan tersebut sememangnya bertujuan untuk penempatan orang Melayu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan kini berpeluang membetulkan semula keadaan dengan mewartakan Kampung Sungai Baru di bawah MAS, demi mempertahankan warisan dan hak asal orang Melayu di Kuala Lumpur.
Tambahnya, kedudukan tanah yang strategik dan bernilai tinggi boleh menyebabkan orang Melayu tersingkir sekiranya pembangunan dilakukan tanpa sekatan milikan.
“Hasrat asal Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah untuk memastikan orang Melayu terus memiliki tanah dan penempatan di pusat bandar mesti dikekalkan,” tegas beliau.-The Merdeka Times