Connect with us

Terkini

Tak perlu ajar karya klasik Thirukkural, Confucius di sekolah, nilai murni sudah diterapkan – Prof Dr. Salleh

Published

on

Foto: Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM, Prof. Dr. Salleh Amat
  • Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM, Prof. Dr. Salleh Amat berpendapat, kurikulum sedia ada sudah merangkumi pelbagai aspek pembentukan sahsiah, termasuk pengajaran sastera dan puisi yang turut membantu dalam membina keperibadian pelajar.
  • Beliau berkata, pelajar perlu dididik untuk menghayati serta mengamalkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian, bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang.
  • Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan dalam membentuk jati diri serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar tanpa mengira jenis sekolah.

KUALA LUMPUR –  Tiada keperluan untuk menambah subjek atau silibus baharu dalam sistem pendidikan bagi tujuan membentuk disiplin dan nilai murni dalam kalangan pelajar kerana elemen tersebut sudahpun diterapkan melalui mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.

Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salleh Amat berpendapat, apa yang lebih penting ialah bagaimana guru mengaplikasikan nilai-nilai tersebut kepada pelajar agar pembelajaran bukan hanya tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.

“Kalau kita lihat dari segi pendidikan disiplin, kita ada pendidikan moral dan juga kita dah ada pendidikan agama Islam. Jadi, pada saya tidak perlu. Kita sudah mempunyai mata pelajaran atau silibus yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Salleh menjelaskan bahawa kurikulum sedia ada sudah merangkumi pelbagai aspek pembentukan sahsiah, termasuk pengajaran sastera dan puisi yang turut membantu dalam membina keperibadian pelajar.

“Di dalam kurikulum sekolah sudah banyak pembelajaran mengenainya. Kalau hendak belajar puisi, sastera dan sebagainya, memang ada penerapan nilai-nilai tersebut.

“Apa yang paling penting ialah bagaimana guru-guru di sekolah itu mengaplikasikan terhadap pelajar-pelajarnya,” ujarnya.

Menurut Salleh lagi, pelajar perlu dididik untuk menghayati serta mengamalkan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian, bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Bagi pendidikan moral, mengajar tentang menghormati orang lain, menepati masa, ini boleh memberi kesedaran pelajar-pelajar itu berdisiplin sepenuhnya serta menghormati orang lain.

“Malah dalam agama Islam, mungkin ada pelajar yang mendapat A dalam agama tetapi dia tak boleh mengaplikasikan apa yang dia pelajari di sekolah, justeru tidak bermakna pembelajaran itu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan dalam membentuk jati diri serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar tanpa mengira jenis sekolah.

“Pada saya, penting untuk menekankan bahasa kebangsaan itu sendiri, jadi dalam menerapkan nilai-nilai murni, nilai-nilai budaya bangsa Malaysia, kalau pelajar-pelajar itu dah mempelajari bahasa Melayu sepenuhnya.

“Saya fikir tidak perlu kurikulum tambahan, namun, menerapkan nilai bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam menanamkan jati diri itu adalah langkah lebih baik,” tegasnya.

Baru-baru ini, semasa sesi Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mencadangkan supaya falsafah daripada karya klasik Thirukkural dan ajaran Confucius turut diajar di sekolah-sekolah kebangsaan bagi memperkukuh nilai moral serta etika dalam kalangan pelajar.

Dalam ucapannya, Rayer berkata cadangan itu dibuat dengan niat ikhlas bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih menyeluruh serta menekankan aspek adab dan budi pekerti. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author