Terkini
Silibus semakin berat, jadual padat: Pelajar hilang minat, mudah putus asa, prestasi merosot
- Pakar Pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad berkata sudah tiba masanya sistem pendidikan menitikberatkan keseimbangan antara pembelajaran dan keseronokan agar pelajar kembali menikmati proses pembelajaran.
- Beliau tidak mahu pelajar terus terbeban hanya kerana negara mahu mengejar ‘ranking’ atau kedudukan dalam penilaian antarabangsa.
- “Generasi dahulu seronok ke sekolah kerana belajar dan bermain seimbang. Tapi kini, jadual padat dan silibus berat menafikan ruang pelajar untuk menikmati masa kecil mereka,” katanya.
KUALA LUMPUR – Silibus pembelajaran yang kini semakin bertambah berat bukan sahaja membebankan pelajar, sekaligus menyebabkan ramai antara mereka mengalami tekanan berlebihan (burnout) dan hilang minat terhadap pembelajaran.
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata sudah tiba masanya sistem pendidikan menitikberatkan keseimbangan antara pembelajaran dan keseronokan agar pelajar kembali menikmati proses pembelajaran.
Beliau tidak mahu pelajar terus terbeban hanya kerana negara mahu mengejar ‘ranking’ atau kedudukan dalam penilaian antarabangsa.
“Pelajar bukan lagi belajar dengan perasaan menyeronokkan, namun dengan tekanan dalam mempelajari silibus yang semakin sukar ini, akhirnya membawa kepada masalah ‘burnout’ dan kehilangan minat terhadap pembelajaran.
“Generasi dahulu seronok ke sekolah kerana belajar dan bermain seimbang. Tapi kini, jadual padat dan silibus yang berat menafikan ruang pelajar untuk menikmati masa kecil mereka,” katanya.
Hal ini katanya menyebabkan pelajar pada 2 tahun, 3 tahun pertama alam persekolahan berasa terbeban dan mudah putus asa dalam pelajaran.
“Kita selalu anggap bila bermain maksudnya anak kita tak belajar. Itu mitos, sedangkan dalam konsep pendidikan masa kini sesuai dengan zaman sekarang ialah bermain dan belajar tu boleh disekalikan. Boleh disesamakan. Boleh diseronokkan,” katanya.
Menurutnya, isu silibus yang semakin mencabar ini berpunca daripada keputusan yang tergesa-gesa sejak tahun 2009 hingga 2010, dimana Malaysia mula menyertai ujian antarabangsa Programme for International Student Assessment (PISA).
Kesannya, negara telah menduduki tangga yang tercorot.
“Dengan itu, lahirlah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dimana ia merupakan satu inisiatif yang ketika itu dianggap rasional untuk mengangkat kedudukan Malaysia dalam penilaian antarabangsa PISA,” jelasnya.
Namun, Dr. Anuar berpendapat pendekatan tersebut akhirnya memberi kesan sebaliknya apabila pelajar mula berasa terbeban dan hilang keseronokan dalam proses pembelajaran.
Beliau memberi contoh usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023, dimana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memutuskan untuk memotong 50 peratus sukatan pelajaran bagi memudahkan sesi pengajaran guru-guru di sekolah.
“Walaupun diberi kelonggaran dimana silibus dipotong hampir separuh, ramai guru tetap meneruskan pengajaran keseluruhan topik atas rasa tanggungjawab.
“Saya sendiri tidak pasti dari mana datangnya idea pemotongan separuh ini. Kurikulum bukan sesuatu yang boleh diambil separuh jalan, ia direka sebagai satu pakej lengkap. Ibarat seperti kereta bertayar empat, jika satu tayar dibuang, maka ia akan tempang dan cacat keseluruhannya,” tegas beliau.
Dalam masa sama, Dr. Anuar turut menjelaskan bahawa dahulu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berfungsi sebagai penanda aras untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid.
“Dulu ada UPSR sebagai ‘checkpoint’ untuk kita tahu murid mana yang boleh membaca, menulis dan mengira (3M). Sekarang, sistem tersebut sudah dimansuhkan dan ini menyebabkan ramai pelajar naik ke peringkat seterusnya tanpa menguasai asas 3M ini,” ujarnya. – The Merdeka Times