Terkini
Sidang Kemuncak ASEAN : “Jangan ganggu acara, laluan delegasi dan ketenteraman awam,” – Polis KL
- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Fadil Marsus, berkata pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai kemungkinan berlakunya penganjuran acara atau perhimpunan tertentu ketika sidang berprestij itu diadakan.
- “Jangan ganggu acara, jangan ganggu laluan delegasi, dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam. Tiga perkara ini sangat jelas. Jika ada pihak melanggar amaran ini, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.
KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menganjur atau terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di ibu negara hujung bulan ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Fadil Marsus, berkata pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai kemungkinan berlakunya penganjuran acara atau perhimpunan tertentu ketika sidang berprestij itu diadakan.
“Kita telah menerima maklumat awal mengenai cadangan beberapa acara yang mungkin dianjurkan, namun kita sedang berurusan secara terus dengan penganjur bagi memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam sidang media pada hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan sepanjang sidang berlangsung.
“Jangan ganggu acara, jangan ganggu laluan delegasi, dan yang paling penting, jangan ganggu ketenteraman awam. Tiga perkara ini sangat jelas. Jika ada pihak melanggar amaran ini, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.
Menurut Mohd Fadil, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini merupakan antara tugasan terbesar PDRM, khususnya bagi Kontinjen Kuala Lumpur yang bertanggungjawab memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran semua pergerakan delegasi.
Sebanyak 10,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang sidang berkenaan, melibatkan pelbagai jabatan serta pasukan bantuan dari seluruh negara.
Katanya, 17 hotel utama di sekitar Kuala Lumpur turut dijadikan tempat penginapan rasmi bagi pemimpin dan pegawai kanan ASEAN, manakala beberapa laluan utama di kawasan segi tiga emas seperti KLCC dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi.
Mohd Fadil turut menasihatkan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program atau aktiviti awam agar merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa serta mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
“Sekiranya ingin menganjurkan acara, rujuk arahan keselamatan yang telah dijelaskan. Jangan adakan sebarang aktiviti tanpa kebenaran kerana ia boleh menimbulkan kekacauan atau gangguan terhadap sidang kemuncak ini,” ujarnya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan pengangkutan awam, serta mematuhi arahan petugas trafik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan sidang kemuncak ini berjalan lancar. Patuhi semua arahan dan elakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya lagi.-The Merdeka Times