Terkini
Sekolah tidak perlu ditutup walau kes Influenza meningkat – Pakar
- Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, berkata masyarakat tidak perlu panik dengan peningkatan kes Influenza A kerana penyakit itu masih boleh dikawal melalui amalan kebersihan diri dan penjagaan persekitaran yang baik.
- “Pada pendapat saya, penutupan sekolah secara menyeluruh tidak diperlukan kerana tindakan ini boleh menjejaskan proses pembelajaran, kesejahteraan emosi pelajar dan urusan ibu bapa. Sebaliknya, pendekatan bersasar seperti menasihatkan pelajar yang bergejala supaya berehat di rumah serta melaksanakan sanitasi di bilik darjah yang terlibat adalah langkah lebih seimbang dan berkesan dari sudut kesihatan awam,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR – Sekolah tidak perlu ditutup walaupun berlaku peningkatan kes influenza kerana langkah sedemikian boleh memberi kesan kepada pembelajaran, kesejahteraan sosioemosi pelajar serta urusan harian ibu bapa, kata pakar kesihatan awam.
Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, berkata masyarakat tidak perlu panik dengan peningkatan kes Influenza A kerana penyakit itu masih boleh dikawal melalui amalan kebersihan diri dan penjagaan persekitaran yang baik.
“Pada pendapat saya, penutupan sekolah secara menyeluruh tidak diperlukan kerana tindakan ini boleh menjejaskan proses pembelajaran, kesejahteraan emosi pelajar dan urusan ibu bapa.
“Sebaliknya, pendekatan bersasar seperti menasihatkan pelajar yang bergejala supaya berehat di rumah serta melaksanakan sanitasi di bilik darjah yang terlibat adalah langkah lebih seimbang dan berkesan dari sudut kesihatan awam,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Influenza A merupakan penyakit berjangkit bermusim yang lazimnya menyebabkan gejala ringan hingga sederhana seperti demam, batuk, sakit tekak dan keletihan. Majoriti pesakit, katanya, pulih sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari tanpa komplikasi serius.
“Berdasarkan data sedia ada, kadar jangkitan influenza biasanya meningkat secara kitaran setiap tahun terutamanya antara bulan November hingga Mac, serta Mei hingga Julai.
“Namun kadar kematian akibat influenza di Malaysia kekal rendah, iaitu kurang daripada 0.1 peratus daripada jumlah kes dilaporkan, kebanyakannya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, bayi dan individu yang menghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes atau jantung,” jelasnya.
Mengulas langkah pencegahan, Dr. Mohd Dzulkhairi menegaskan beberapa tindakan boleh diambil bagi mengurangkan risiko penularan di sekolah.
“Antaranya termasuk pemantauan harian kesihatan pelajar dan guru; memastikan pengudaraan baik di bilik darjah dan kawasan tertutup; serta meningkatkan tahap kebersihan diri dan persekitaran sekolah.
“Selain itu, elakkan perhimpunan besar dalam ruang tertutup ketika tempoh peningkatan kes, dan pastikan kerjasama rapat antara pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi pemantauan dan panduan terkini,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar golongan rentan dan berisiko tinggi, termasuk pelajar dan guru yang mempunyai masalah kesihatan kronik, mempertimbangkan vaksinasi influenza tahunan sebagai langkah perlindungan tambahan.
Sehubungan itu, Dr. Mohd Dzulkhairi menegaskan bahawa penutupan sekolah bukan langkah terbaik untuk menangani situasi semasa, sebaliknya peningkatan amalan kebersihan, pengudaraan baik serta pemantauan kesihatan berkala sudah memadai untuk memutuskan rantaian jangkitan. – The Merdeka Times