Connect with us

Terkini

Rogol, buli di sekolah : KPM perlu berani terima kritikan

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Dr. Liley Afzani Saidi

 

  • “Sudah tiba masanya sistem pendidikan negara dilihat kembali dengan lebih agresif. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bertindak jujur dalam melaporkan serta menerima kritikan secara terbuka.” – Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Liley Afzani Saidi
  • Tambah beliau, langkah progresif dan menyeluruh perlu diambil oleh semua pihak berkepentingan dalam menangani isu salah laku pelajar yang semakin membimbangkan, termasuk kes rogol dan buli yang mencerminkan kelemahan sistem pendidikan serta mekanisme hukuman sedia ada.

 

KUALA LUMPUR– Langkah progresif dan menyeluruh perlu diambil oleh semua pihak berkepentingan dalam menangani isu salah laku pelajar yang semakin membimbangkan, termasuk kes rogol dan buli yang mencerminkan kelemahan sistem pendidikan serta mekanisme hukuman sedia ada.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Liley Afzani Saidi, menegaskan bahawa isu-isu tersebut bukan sekadar insiden terpencil, sebaliknya menggambarkan kegagalan sistemik yang memerlukan pembaharuan dari sudut pendidikan nilai, pendekatan hukuman dan pembentukan jati diri pelajar.

“Kes yang berlaku bukan hanya sekadar kes rogol atau buli seperti sebelum ini, tetapi mencerminkan kelemahan sistem yang perlu diperbaiki secara menyeluruh, termasuk dari segi pendekatan hukuman dan pendidikan nilai,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Menurut Dr. Liley, pendidikan masa kini tidak boleh lagi berorientasikan pemindahan ilmu semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan terhadap pembentukan nilai, karakter, empati dan jati diri pelajar.

“Sistem sedia ada perlu dikaji semula agar seiring dengan realiti dan cabaran semasa, terutamanya yang melibatkan remaja hari ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sistem hukuman di sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin dan kesedaran moral, namun pelaksanaannya perlu diteliti semula agar bukan hanya menghukum, tetapi turut mendidik dan menyedarkan pelajar tentang tanggungjawab sosial.

“Hukuman yang ada pada masa kini perlu dikaji secara holistik agar bukan sekadar menghukum, tetapi mendidik serta membina kesedaran moral dalam diri pelajar,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kes rogol tergolong dalam kesalahan jenayah yang berada di bawah bidang kuasa polis, sistem disiplin sekolah juga perlu diperkukuh dan diselaraskan supaya mampu mendidik pelajar menghormati batas sosial dan nilai kemanusiaan.

“Sudah tiba masanya sistem pendidikan negara dilihat kembali dengan lebih agresif. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bertindak jujur dalam melaporkan serta menerima kritikan secara terbuka,” katanya lagi.

Jelas Dr. Liley, pendidikan harus difahami dalam konteks yang lebih luas bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi juga pembinaan akhlak, disiplin, empati, tanggungjawab dan sahsiah diri, khususnya di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Hukuman tegas terhadap salah laku yang melibatkan kes jenayah bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. KPM perlu berani melakukan transformasi agar sistem pendidikan benar-benar mampu melahirkan generasi berakhlak dan berempati,” tegasnya.

Beliau turut menambah bahawa keberkesanan sistem hukuman di sekolah perlu dikaji semula, memandangkan peningkatan kes salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar menunjukkan bahawa mekanisme sedia ada tidak lagi mencukupi.

“Kegusaran masyarakat berkenaan peningkatan kes salah laku dan jenayah yang dilihat hari ini akibat kurangnya keberkesanan sistem hukuman sedia ada di peringkat sekolah.” katanya. The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author