Connect with us

Terkini

Rakyat perlu dilibatkan dalam keputusan pendidikan – Maszlee Malik

Published

on

Foto: Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik
  • Menurut Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, komunikasi dua hala antara Kementerian Pendidikan dan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat difahami, diterima dan dilaksanakan secara bersama.
  • “Rakyat ingin rasa mereka dilibatkan. Bila mereka terlibat, mereka akan lebih menghargai usaha kementerian,” katanya.

 

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, menegaskan bahawa rakyat termasuk ibu bapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal media perlu diberikan ruang untuk dilibatkan secara aktif dalam proses membuat keputusan dan pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Menurut beliau, komunikasi dua hala antara Kementerian Pendidikan dan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat difahami, diterima dan dilaksanakan secara bersama.

“Rakyat ingin rasa mereka dilibatkan. Bila mereka terlibat, mereka akan lebih menghargai usaha kementerian,” katanya.

Dr. Maszlee berkata demikian ketika mengulas kepentingan memperkukuh komunikasi dan penglibatan pelbagai pihak dalam sistem pendidikan agar dasar baharu tidak dilihat datang “dari atas ke bawah” tanpa konsultasi awam.

Beliau berkata, pendekatan kolaboratif telah terbukti berkesan ketika beliau menerajui Kementerian Pendidikan apabila pelbagai pihak digembleng untuk bersama menjayakan dasar dan program pendidikan.

“Semasa saya di kementerian, kita tarik polis, NGO, persatuan Melayu, persatuan Cina dan kumpulan pendidik untuk sama-sama buat kerja,” jelasnya.

Dr. Maszlee turut menekankan bahawa komunikasi yang lemah antara kementerian dengan rakyat sering menjadi punca salah faham dan penolakan terhadap dasar baharu pendidikan.

Beliau memberi contoh pengalaman semasa menerajui Kementerian Pendidikan pada 2019, apabila isu tulisan Jawi mencetuskan polemik kaum kerana kekurangan komunikasi yang jelas kepada masyarakat.

“Komunikasi bukan tugas menteri sahaja, tetapi seluruh kementerian. Kalau komunikasi baik, dasar lebih mudah diterima,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Maszlee turut menyeru agar guru terus diberikan kepercayaan dan sokongan untuk mendidik tanpa tekanan berlebihan terhadap laporan atau penilaian prestasi semata-mata.

Katanya, pendidikan yang berkesan tidak dapat dilaksanakan tanpa keyakinan dan kerjasama antara kementerian, guru dan masyarakat keseluruhannya.

“Kita perlu berikan kepercayaan kepada guru dan libatkan rakyat dalam setiap Langkah,” tegas beliau. -The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author