Antarabangsa
Perjanjian Malaysia–AS bukan ‘cek kosong’, tapi pagar lindungi kedaulatan – Tengku Zafrul
- Tengku Zafrul menegaskan bahawa Perjanjian ART bukan satu bentuk penyerahan kuasa ekonomi kepada AS, sebaliknya mekanisme kawalan bersama bagi memastikan sebarang tindakan perdagangan mesti melalui proses rundingan dua hala.
- “Dengan bahasa mudah, Perjanjian ART ini bukan cek kosong kepada Amerika Syarikat. Ia adalah pagar-pagar yang kita bina, supaya apa-apa tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat tidak bermaksud Malaysia tunduk kepada syarat yang ditetapkan oleh Washington, sebaliknya bertujuan melindungi kepentingan jangka panjang negara dan rakyat.
Dalam sesi Kenyataan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pendekatan Malaysia dalam rundingan tersebut berasaskan prinsip keterbukaan, keseimbangan dan kepentingan nasional, dengan memberi tumpuan terhadap kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri tempatan yang menjadikan pasaran AS sebagai destinasi eksport utama.
“Rundingan ini juga tidak bermaksud persetujuan mutlak negara terhadap semua syarat yang dikemukakan oleh AS. Sebaliknya, Perjanjian ART ini menjanjikan ruang untuk Malaysia memastikan peluang untuk berbincang dan berunding sentiasa terbuka agar isu-isu dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa Perjanjian ART bukan satu bentuk penyerahan kuasa ekonomi kepada AS, sebaliknya mekanisme kawalan bersama bagi memastikan sebarang tindakan perdagangan mesti melalui proses rundingan dua hala.
“Dengan bahasa mudah, Perjanjian ART ini bukan cek kosong kepada Amerika Syarikat. Ia adalah pagar-pagar yang kita bina, supaya apa-apa tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral,” tegas beliau.
Zafrul turut menjelaskan bahawa ART bukan satu-satunya inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran geoekonomi dan geopolitik global. MITI, katanya, kini sedang giat memperluas pasaran eksport Malaysia agar tidak bergantung kepada hanya satu atau dua rakan dagang utama.
“Kerajaan sedar bahawa Malaysia tidak boleh bergantung kepada hanya satu atau dua pasaran. Justeru, MITI sedang berusaha mempelbagaikan destinasi pasaran eksport di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia di pasaran sedia ada,” jelasnya.
Antara langkah yang diambil termasuk memperkukuh perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada serta memeterai FTA baharu dengan Republik Korea, UAE dan EFTA (Switzerland, Norway, Liechtenstein dan Iceland) yang berjaya dimuktamadkan tahun ini.
MITI, menurut beliau, komited memastikan sebarang bentuk kerjasama perdagangan baharu dilaksanakan mengikut undang-undang Malaysia dan berpaksikan kepada kepentingan nasional.-The Merdeka Times