Terkini
‘Pemimpin cuai isu agama, budaya dan pelembagaan wajar dihukum!’ – Penganalisis
-
Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berkata tindakan hukuman dan penalti adalah perlu bagi melatih mereka agar peka dan lebih berhati-hati.
-
Menurutnya, langkah pendidikan dan kempen kesedaran juga penting, namun harus disokong dengan tindakan berterusan melalui latihan serta pemantauan yang berkesan dan hukuman kepada pesalah.
-
“Pendekatan bersifat menyeluruh merangkumi pendidikan, penguatkuasaan, dan perundangan amat penting agar isu-isu seperti ini tidak berulang dan mampu menjamin keharmonian serta kestabilan negara pada masa hadapan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengenakan hukuman atau penalti yang wajar kepada pentadbir awam atau ahli politik yang cuai atau mengeluarkan kenyataan melanggar garis sensitiviti budaya, agama dan perlembagaan.
Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berkata tindakan berkenaan adalah perlu bagi melatih mereka agar peka dan lebih berhati-hati.
Menurutnya, langkah pendidikan dan kempen kesedaran penting, namun harus disokong dengan tindakan berterusan melalui latihan serta pemantauan yang berkesan dan hukuman kepada pesalah.
“Pendekatan bersifat menyeluruh merangkumi pendidikan, penguatkuasaan, dan perundangan amat penting agar isu-isu seperti ini tidak berulang dan mampu menjamin keharmonian serta kestabilan negara pada masa hadapan.
“Selain pendidikan dan latihan, hukuman atau penalti yang wajar juga boleh diperkenalkan kepada mereka yang cuai atau mengeluarkan kenyataan yang melanggar garis sensitiviti budaya, agama dan perlembagaan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times, hari ini.
Selain itu, kerajaan juga katanya, boleh bertindak memperketatkan garis panduan komunikasi awam melibatkan menteri dan agensi kerajaan bagi mengelak insiden menyentuh sensitiviti agama serta Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, panduan yang lebih jelas dan selari dengan semangat Perlembagaan serta Rukun Negara perlu diwujudkan agar segala kenyataan atau tindakan rasmi tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
“Kerajaan juga boleh menubuhkan Majlis Perundingan Nasional yang berperanan mengurus perkara-perkara sensitif berkaitan institusi diraja, agama dan perlembagaan negara.
“Majlis ini boleh dianggotai tokoh-tokoh agama, ahli akademik, serta wakil masyarakat bagi memastikan suara semua pihak didengari dan keputusan yang dibuat mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum,” katanya.
Tambahnya, langkah jangka panjang juga perlu diambil melalui penganjuran latihan kemahiran secara berkala kepada penjawat awam dan ahli politik bagi meningkatkan kefahaman terhadap isu-isu berkaitan budaya, agama serta jati diri nasional.
Terdahulu, media melaporkan terdapat hidangan arak yang didakwa berlaku dalam satu majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beberapa hari lepas, Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mas Ermieyanti Samsudin mendakwa gara-gara minuman keras dalam majlis itu, ramai tetamu beragama Islam balik awal. – The Merdeka Times