Connect with us

Terkini

Pelajar lelaki mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal terhadap rakan sekelas

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan
  • Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding itu berkata remaja berkenaan, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan sekelas perempuannya yang juga berusia 15 tahun, di sebuah kelas di sekolah berkenaan dalam daerah Sabak Bernam pada kira-kira 9.30 pagi, 13 Oktober lepas.
  • Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman denda, pampasan atau kos; perintah khidmat masyarakat; atau dihantar ke sekolah diluluskan seperti Sekolah Henry Gurney, jika sabit kesalahan.
  • Muhammad Azamuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000, dengan mengambil kira keseriusan kes melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

KUALA SELANGOR – Seorang pelajar lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan perempuan sekelasnya, di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, dua minggu lepas.

Pelajar tingkatan tiga berusia 15 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam dalam prosiding tertutup.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding itu berkata remaja berkenaan, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan sekelas perempuannya yang juga berusia 15 tahun, di sebuah kelas di sekolah berkenaan dalam daerah Sabak Bernam pada kira-kira 9.30 pagi, 13 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman denda, pampasan atau kos; perintah khidmat masyarakat; atau dihantar ke sekolah diluluskan seperti Sekolah Henry Gurney, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara tertakluk kepada Seksyen 96(2) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tempoh tertentu.

Muhammad Azamuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000, dengan mengambil kira keseriusan kes melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Peguam Aina Suraya Ahmad Nor Hisham yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital, akibat kemalangan jalan raya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Oktober, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusoff Ahmad dilaporkan berkata seorang remaja lelaki ditahan selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah sekolah di daerah itu pada 13 Oktober.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, suspek didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa pada waktu rehat, sebelum ditahan pada hari sama untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author