Terkini
Nga Kor Ming sedia temui media jernihkan keadaan – Fahmi
- “Saya rasa ada ruang untuk beliau bertemu dengan pihak organisasi media, dan beliau sudah memaklumkan akan berbuat demikian bagi menjernihkan keadaan. Itu komitmen yang telah diberikan oleh menteri berkenaan,” – Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil
- Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan Kor Ming menjawab dengan nada keras terhadap pertanyaan seorang wakil media mengenai penggunaan bahasa Inggeris pada nama acara berkenaan.
PUTRAJAYA — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, memberi komitmen untuk bertemu dengan pihak media bagi menjernihkan polemik yang timbul susulan insiden di sebuah program di ibu negara baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini.
“Saya rasa ada ruang untuk beliau bertemu dengan pihak organisasi media, dan beliau sudah memaklumkan akan berbuat demikian bagi menjernihkan keadaan. Itu komitmen yang telah diberikan oleh menteri berkenaan,” kata Fahmi dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan Kor Ming menjawab dengan nada keras terhadap pertanyaan seorang wakil media mengenai penggunaan bahasa Inggeris pada nama acara berkenaan.
Tindakan itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM), yang menyifatkan kenyataan beliau sebagai tidak wajar.
Apabila ditanya sama ada Kor Ming bersedia memohon maaf berhubung isu berkenaan, Fahmi berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara menteri tersebut.
“Beliau sudah menyampaikan pandangan, dan saya juga telah menyampaikan pandangan yang sama seperti yang saya nyatakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” jelasnya. -The Merdeka Times