Connect with us

Agama

Mufti Wilayah Persekutuan: Hidangan arak bertentangan Perlembagaan Persekutuan, singgung umat Islam

Published

on

Foto: Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
  • Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, tetapi juga mencerminkan hakikat bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.
  • Menurutnya, hidangan arak dalam majlis rasmi yang melambangkan kerajaan hanya mencemarkan imej negara dan merosakkan reputasi Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada dunia.
  • Katanya, arak juga dikaitkan dengan kesan sosial yang serius seperti kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kadar pengambilan alkohol yang tinggi dan mabuk.

KUALA LUMPUR – Penyediaan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan bertentangan dengan roh Perlembagaan serta menyinggung sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, tetapi juga mencerminkan hakikat bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

“Pada masa sama, Malaysia juga telah dikenali sebagai Hab Halal Global yang menjadi rujukan antarabangsa dalam aspek pensijilan halal.

“Sejajar dengan itu, penghidangan arak dalam majlis rasmi yang melambangkan kerajaan hanya mencemarkan imej negara dan merosakkan reputasi Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada dunia,” katanya menerusi kenyataan Tinta Mufti Bil. 29/2025.

Tambahnya, arak juga dikaitkan dengan kesan sosial yang serius seperti kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kadar pengambilan alkohol yang tinggi dan mabuk.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 213 kes kemalangan maut dilaporkan sepanjang tahun 2024 berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

“Sementara bagi separuh pertama tahun 2025, sebanyak 87 kes telah direkodkan. Situasi ini menunjukkan bahawa arak bukan sahaja diharamkan atas dasar agama, malah mendatangkan kemudaratan nyata terhadap keselamatan awam dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Fauwaz turut berkongsi tiga prinsip utama bagi semua pihak, terutamanya yang berkaitan dengan urusan kerajaan dan negara.

“Antaranya ialah, Pengesahan Halal Wajib: Sebarang program atau majlis yang dianjurkan oleh agensi-agensi yang berkaitan dengan kerajaan atau yang melambangkan identiti negara mestilah menghidangkan makanan atau minuman yang telah disahkan sebagai halal oleh pihak berautoriti (JAKIM atau JAIN).

“Selain itu, Larangan Penggunaan Simbol Kerajaan: Penganjuran majlis yang menghidangkan minuman arak tidak boleh melibatkan sebarang logo, lambang atau label yang melambangkan pihak kerajaan mahupun negara.

“Terakhir ialah Bukan Acara Awam/Terbuka: Penganjuran majlis sedemikian mestilah berlangsung dalam keadaan yang tertutup dan tidak boleh disiarkan secara terbuka kepada masyarakat bagi memelihara sensitiviti agama dan norma sosial majoriti,” katanya.

Beliau turut menasihati semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti umat Islam demi memelihara keharmonian serta perpaduan nasional. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author