Terkini
MP PAS serah isu mudir madrasah kepada MAIK untuk penjelasan rasmi
- Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, menegaskan bahawa sebarang penjelasan berhubung kes seorang mudir madrasah di Tumpat, Muhammad Aswadi Yah atau lebih dikenali sebagai Abuya, yang kini berdepan pelbagai pertuduhan salah laku seksual dan penyebaran bahan lucah, perlu diberikan oleh pihak berautoriti agama negeri.
- “Bagi isu ini, adalah lebih baik untuk dirujuk kepada pihak MAIK untuk menjawab,” katanya ringkas kepada The Merdeka Times hari ini.
- Beliau turut menjelaskan bahawa belum menerima sebarang laporan rasmi atau akses kepada hasil siasatan berhubung kes berkenaan.
TUMPAT – Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, menegaskan bahawa sebarang penjelasan berhubung kes seorang mudir madrasah di Tumpat, Muhammad Aswadi Yah atau lebih dikenali sebagai Abuya, yang kini berdepan pelbagai pertuduhan salah laku seksual dan penyebaran bahan lucah, perlu diberikan oleh pihak berautoriti agama negeri.
Menurut Mumtaz, semua perkara berkaitan hal ehwal Islam di Kelantan terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), dan justeru itu beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut bagi menghormati proses siasatan serta prosedur mahkamah yang sedang berjalan.
“Bagi isu ini, adalah lebih baik untuk dirujuk kepada pihak MAIK untuk menjawab,” katanya ringkas kepada The Merdeka Times hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa belum menerima sebarang laporan rasmi atau akses kepada hasil siasatan berhubung kes berkenaan.
“Saya baru mengetahui aktiviti ini melalui media. Setakat hari ini, saya belum memperoleh akses kepada mana-mana laporan hasil siasatan. Kes ini juga masih di mahkamah, jadi lebih baik dirujuk kepada pihak berwajib,” jelasnya.
Kes Aswadi sebelum ini menarik perhatian umum selepas beliau dihadapkan dengan sekurang-kurangnya 15 pertuduhan kesalahan seksual, termasuk melibatkan pelajar tahfiz di bawah seliaannya.
The Merdeka Times sejak dua minggu lalu telah menghubungi pihak MAIK untuk mendapatkan kenyataan rasmi berhubung isu sama, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.
Situasi itu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai kejelasan dan ketelusan pihak berkuasa agama dalam menangani isu yang menyentuh maruah institusi Islam serta integriti pendidik agama di negeri tersebut.– The Merdeka Times