Terkini
MARA sedia bantu pelajar cemerlang tercicir tanpa surat permohonan – Asyraf Wajdi
- “Ramai bertanya kalau ada maklumat pelajar cemerlang yang tercicir kerana faktor kemiskinan, adakah perlu buat surat permohonan. Saya jawab tidak perlu. Beri sahaja maklumat kepada saya di media sosial, insya-Allah MARA bantu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
- Kenyataan tersebut mendapat sambutan positif daripada pengguna media sosial yang memuji pendekatan proaktif beliau.
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pelajar cemerlang yang tercicir kerana faktor kemiskinan tidak perlu melalui prosedur birokrasi dengan menulis surat permohonan untuk mendapatkan bantuan.
Sebaliknya, menurut beliau, ibu bapa atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh terus berkongsi butiran melalui ruangan media sosialnya, dan pihak MARA akan mengambil tindakan segera untuk membantu.
“Ramai bertanya kalau ada maklumat pelajar cemerlang yang tercicir kerana faktor kemiskinan, adakah perlu buat surat permohonan.
“Saya jawab tidak perlu. Beri sahaja maklumat kepada saya di media sosial, insya-Allah MARA bantu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Kenyataan tersebut mendapat sambutan positif daripada pengguna media sosial yang memuji pendekatan proaktif beliau. Seorang pengguna, Kumanan Kandasamy, menyifatkan Asyraf Wajdi sebagai pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan komited memastikan tiada pelajar berpotensi tertinggal hanya kerana kesempitan hidup.
“Ini pendekatan proaktif dan penuh keikhlasan yang masyarakat perlukan. Dr. Asyraf seorang pemimpin yang mengotakan kata-kata dan komited mengangkat martabat bangsa,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Khai Hamzi, berterima kasih atas keprihatinan tersebut dan menegaskan isu keciciran pelajar Melayu cemerlang perlu diberi perhatian serius.
“Semoga langkah ini menjadi pemangkin agar tiada lagi bakat dan potensi anak bangsa terbiar,” katanya.
Manakala seorang pengguna lain dari Zon Anggerik turut menyatakan rasa gembira dengan gaya kepimpinan Asyraf Wajdi yang dianggap lebih mendekati rakyat berbanding pendekatan terdahulu.
“Alhamdulillah, seronok bila Dato’ memimpin MARA. Kenapa sebelum ini tiada pengerusi yang boleh buat seperti ini? Semoga amanah ini dapat dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.- The Merdeka Times