Terkini
Malaysia perlu jadi pemain utama, bukan sekadar pembekal bahan mentah
- Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata sektor nadir bumi berpotensi menjadi pemacu ekonomi baharu negara sekiranya Malaysia mampu bergerak ke arah pengeluaran berteknologi tinggi yang menambah nilai kepada bahan mineral tersebut.
- “Langkah ini penting untuk menambah nilai ekonomi, mencipta pekerjaan berkemahiran, dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar,” katanya.
- “Malaysia perlu mengimbangi kepentingan ekonomi dengan dasar luar yang neutral agar tidak dilihat berpihak, sambil memastikan pengurusan lestari sumber mineral negara untuk mengelak eksploitasi berlebihan,” ujarnya.
KUALA LUMPUR – Malaysia disaran memanfaatkan potensi besar dalam sektor nadir bumi dengan membangunkan kapasiti pemprosesan tempatan supaya tidak terus bergantung kepada eksport bahan mentah, kata Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli.
Menurut beliau, sektor nadir bumi berpotensi menjadi pemacu ekonomi baharu negara sekiranya Malaysia mampu bergerak ke arah pengeluaran berteknologi tinggi yang menambah nilai kepada bahan mineral tersebut.
“Malaysia perlu segera membangunkan kapasiti untuk memproses hasil bumi seperti nadir bumi agar tidak sekadar menjual bahan mentah.
“Langkah ini penting untuk menambah nilai ekonomi, mencipta pekerjaan berkemahiran, dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau berkata, pemprosesan tempatan bukan sahaja dapat memperkukuh daya saing Malaysia dalam pasaran global, tetapi juga membantu negara membina industri strategik yang berasaskan teknologi tinggi.
“Setakat jual sahaja tidak mencukupi, pemprosesan tempatan juga membolehkan Malaysia membina industri berteknologi tinggi dan mengukuhkan kedaulatan ekonomi.
“Walaubagaimanapun, ia mesti dilaksana dengan kawalan alam sekitar yang ketat,” jelasnya.
Mengulas keputusan Malaysia yang tidak mengenakan sekatan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat (AS), Mohd Yazid berkata langkah itu membawa kesan positif dari sudut pelaburan dan perdagangan.
“Dari segi ekonomi, ia boleh meningkatkan pelaburan asing dan memperkukuh hubungan perdagangan dengan AS, menjadikan Malaysia pembekal yang dipercayai dalam rantaian bekalan global tenaga hijau dan teknologi tinggi.
“Namun, dari segi strategik, ia juga boleh menimbulkan tekanan geopolitik, khususnya dengan China yang merupakan pemain utama dalam pasaran nadir bumi, Malaysia perlu mengimbangi kepentingan ekonomi dengan dasar luar yang neutral agar tidak dilihat berpihak sambil memastikan pengurusan lestari sumber mineral negara untuk mengelak eksploitasi berlebihan,” ujarnya.
Mohd Yazid turut menekankan bahawa pengurusan sumber nadir bumi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi mengelak kesan negatif terhadap alam sekitar dan komuniti tempatan.
“Kerajaan Malaysia perlu melaksanakan dasar kawal selia yang ketat, termasuk penilaian impak alam sekitar yang telus, kuota pengeluaran lestari, dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pencemaran atau eksploitasi.
“Pemantauan bebas oleh agensi kerajaan dan masyarakat sivil harus digalakkan untuk memastikan akauntabiliti,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar hasil daripada eksport mineral disalurkan semula kepada pembangunan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.
“Hasil daripada eksport mineral perlu disalurkan kepada pembangunan komuniti tempatan melalui pendidikan, kesihatan, dan pemuliharaan alam sekitar, agar manfaat ekonomi tidak dicapai dengan mengorbankan kelestarian dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Yazid turut menyentuh mengenai kerjasama bernilai AS$150 bilion antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang pesawat, semikonduktor dan infrastruktur data yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau berkata, kerjasama besar itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berteknologi tinggi di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi.
“Ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh ekosistem digital, dan menggalakkan pemindahan teknologi jika dibuat dengan betul.
“Namun, Malaysia perlu memastikan manfaatnya dinikmati secara seimbang, termasuk pembangunan perusahaan tempatan agar tidak hanya bergantung kepada syarikat asing. Kena ada perancangan teliti,” tegasnya.
Menurut beliau, kerjasama strategik ini menggambarkan komitmen Malaysia untuk kekal sebagai rakan dagang penting kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat, tanpa mengorbankan hubungan baik dengan negara lain termasuk China.
“Ia memberi isyarat bahawa Malaysia mahu kekal relevan dalam rantaian bekalan global yang dipimpin Barat. Namun, langkah ini boleh menimbulkan kebimbangan China, yang mungkin melihatnya sebagai peralihan keseimbangan strategik.
“Oleh itu, Malaysia perlu mengekalkan dasar luar yang berkecuali dan pragmatik bagi mengelak ketegangan dengan kedua-dua kuasa besar, setakat ini, diplomasi Malaysia diterima semua,” katanya. – The Merdeka Times