Connect with us

Terkini

Lebih 50 peratus sekolah KAFA tiada komputer dan internet, Kerajaan digesa bertindak

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari

 

  • Hampir 70 peratus sekolah KAFA masih menggunakan kaedah manual tanpa sistem pengurusan data pelajar, dan lebih 50 peratus tiada kemudahan ICT asas.” – Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari
  • Beliau turut membandingkan kemajuan negara jiran, Indonesia, yang kini memiliki lebih 7,000 madrasah digital di bawah Kementerian Agamanya dan menyarankan agar Malaysia mengambil pendekatan serupa bagi memastikan pendidikan Islam kekal relevan dalam persekitaran pembelajaran moden.

 

KUALA LUMPUR— Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menggesa kerajaan menyediakan dana khusus bagi pembangunan ICT di sekolah-sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) susulan pendedahan bahawa hampir 70 peratus sekolah KAFA masih beroperasi secara manual tanpa sistem pengurusan data pelajar.

Menurut beliau, berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2024, lebih 50 peratus sekolah KAFA turut tidak mempunyai kemudahan asas ICT seperti komputer dan capaian internet, satu keadaan yang menurutnya sudah ketinggalan jauh dalam era digital.

“Selain penyelarasan kokurikulum, kita juga harus melihat kepada penyelarasan data pelajar. Hampir 70 peratus sekolah KAFA masih menggunakan kaedah manual tanpa sistem pengurusan data pelajar, dan lebih 50 peratus tiada kemudahan ICT asas,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Dr. Taufiq turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program “Smart Classroom” untuk sekolah-sekolah KAFA, termasuk menyediakan bantuan komputer riba dan kemudahan digital kepada guru-guru KAFA yang masih kekurangan peralatan asas.

Beliau turut membandingkan kemajuan negara jiran, Indonesia, yang kini memiliki lebih 7,000 madrasah digital di bawah Kementerian Agamanya dan menyarankan agar Malaysia mengambil pendekatan serupa bagi memastikan pendidikan Islam kekal relevan dalam persekitaran pembelajaran moden.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, memaklumkan bahawa kerajaan melalui JAKIM serta jabatan agama negeri sedang meneliti pelan digitalisasi pengajaran dan pembelajaran KAFA, termasuk integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita sedang meneliti usaha untuk mengintegrasikan kaedah digitalisasi dalam pengajaran KAFA, termasuk penggunaan Artificial Intelligence. Cadangan melengkapkan infrastruktur ICT masih dalam proses pelaksanaan di peringkat persekutuan dan negeri,” jelas beliau.

Dr. Zulkifli menambah, kerajaan komited untuk memperluas capaian digital KAFA, namun langkah itu memerlukan kajian mendalam kerana melibatkan kos tinggi dan keperluan akses saksama di seluruh negeri.

“Kita mahu pastikan tiada yang tercicir walau apa pun keadaan,” katanya.-The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author