Terkini
Larangan arak di sekolah isu adab, Bukan perkauman — Prof Sivamurugan
- “Isu ini tidak wajar dilihat dari sudut etnik, perkauman atau agama, tetapi dari keperluan menjaga adab dan imej institusi pendidikan sebagai tempat pembentukan nilai, sahsiah dan karakter serta keperibadian pelajar. Perbincangan tentang larangan arak di sekolah bukan soal menafikan budaya, tetapi memastikan batas nilai dan ruang pendidikan terus dihormati,” -Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM,Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian
- Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, menegur tindakan segelintir pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai isu tersebut.
- “Bagi saya tidak sepatutnya beliau (Lim Guan Eng) dalam sebuah kerajaan yang sama mengeluarkan kenyataan ‘Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jolok sarang tebuan’ secara terbuka dan seolah-olah mempertikai penjelasan Perdana Menteri menyelesaikan isu yang sedang hangat dalam masyarakat.
KUALA LUMPUR – Isu larangan arak di sekolah tidak wajar dilihat dari sudut etnik, perkauman atau agama, sebaliknya perlu difahami sebagai usaha menjaga adab serta imej institusi pendidikan terus terpelihara.
Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata perbincangan tentang larangan itu bukanlah soal menafikan budaya, tetapi bagi memastikan batas nilai dan ruang pendidikan terus dihormati.
“Isu ini tidak wajar dilihat dari sudut etnik, perkauman atau agama, tetapi dari keperluan menjaga adab dan imej institusi pendidikan sebagai tempat pembentukan nilai, sahsiah dan karakter serta keperibadian pelajar.
“Perbincangan tentang larangan arak di sekolah bukan soal menafikan budaya, tetapi memastikan batas nilai dan ruang pendidikan terus dihormati,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam berhubung larangan hidangan arak di kawasan sekolah, termasuk dewan awam yang dibina sepenuhnya melalui dana masyarakat Cina.
Menurut Guan Eng, kenyataan itu menimbulkan rasa tidak senang dan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat Cina, kerana ia dianggap mencampuri amalan tradisi yang telah diamalkan tanpa gangguan sejak kemerdekaan pada tahun 1957.
“Isu ini bukan soal siapa tersinggung, tetapi bagaimana kita menjaga keharmonian di ruang pendidikan untuk semua.
“Keputusan ini bukan tentang larangan semata-mata, tapi tentang menghormati sensitiviti tanpa menjejaskan hak sesiapa, pemimpin boleh berbeza pandangan, tapi matlamatnya sama yakni memastikan dasar dilaksana dengan hikmah dan keseimbangan,” tegasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, menegur tindakan segelintir pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai isu tersebut.
“Bagi saya tidak sepatutnya beliau (Lim Guan Eng) dalam sebuah kerajaan yang sama mengeluarkan kenyataan ‘Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jolok sarang tebuan’ secara terbuka dan seolah-olah mempertikai penjelasan Perdana Menteri menyelesaikan isu yang sedang hangat dalam masyarakat.
“Banyak sahaja platform yang boleh digunakan malah boleh menghubungi Perdana Menteri secara terus untuk nyatakan pandangan berkenaan,” ujarnya. – The Merdeka Times.