Terkini
LAPORAN KHAS: Kontroversi Seksyen 114A, Sampai mana tanggungjawab pemilik media sosial?
- “Rakyat tidak boleh anggap setiap komen orang lain automatik menjadikan pemilik akaun bersalah. Undang-undang ini melihat kepada fakta kes. Jika akaun digodam, atau sistem kawalan sudah disediakan tetapi gagal berfungsi, pemilik boleh membela diri,” kata peguam Mohamed Haniff Kathri Abdulla.
- Beliau menyebut bahawa pemilik akaun dan pengendali media sosial wajar mengambil langkah “munasabah” seperti sistem penapisan automatik, pemantauan komen, dan tindak balas pantas tatkala komen melampau muncul.
- Beliau menekankan bahawa kebebasan bersuara dilindungi Perlembagaan tetapi ia tertakluk kepada undang-undang seperti fitnah, hasutan dan undang-undang siber. Jika tiada kawalan, ruang maya boleh disalahgunakan seperti penyebaran pornografi, fitnah, atau provokasi terhadap keamanan masyarakat.
Isu Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 suatu ketika dulu hangat diperdebatkan di era digital, lebih-lebih apabila orang ramai sering tersangkut dalam kes fitnah atau komen jahat di media sosial walaupun mereka sendiri tidak menulisnya.
Dalam temuramah eksklusif bersama The Merdeka Times, peguam Mohamed Haniff Kathri Abdulla menjelaskan dengan mendalam bagaimana undang-undang ini berfungsi, batasannya, dan peluang untuk menangkis anggapan yang dibebankan ke atas pemilik akaun media sosial.
Apa itu Seksyen 114A?
Seksyen 114A diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keterangan 1950 (A1432) pada tahun 2012, sebagai mekanisme undang-undang untuk membolehkan “anggapan fakta” bahawa pemilik akaun atau orang yang namanya, foto atau nama samaran muncul dalam penerbitan dianggap sebagai penerbit kandungan tersebut, melainkan dibuktikan sebaliknya.
Ia meliputi tiga situasi utama:
- Seseorang yang namanya, gambarnya atau nama samaran muncul sebagai pemilik, editor, host, penyunting, atau fasilitator penerbitan dianggap sebagai penerbit.
- Pelanggan yang didaftarkan dengan penyedia perkhidmatan rangkaian di mana penerbitan berlaku dianggap sebagai penerbit.
- Sesiapa yang mempunyai kawalan ke atas komputer yang menjadi asal penerbitan juga dianggap penerbit.
Kes Landmark: Malaysiakini & Komen Pengguna
Dalam kes Peguam Negara v. Mkini Dotcom Sdn Bhd & Anor (Mahkamah Persekutuan, 2021), portal berita Malaysiakini didapati bersalah menghina mahkamah kerana komen pihak ketiga yang dibiarkan terpapar dalam artikelnya.
Mahkamah memutuskan bahawa Malaysiakini dianggap sebagai penerbit di bawah Seksyen 114A, dan gagal menangkis anggapan tersebut.
Mahkamah turut menyatakan bahawa sistem penapisan komen oleh Malaysiakini tidak mencukupi kerana hanya menyekat kata-kata kotor (foul words) dan tidak menyaring kandungan “offensif” atau bercanggah undang-undang. Malaysiakini kemudian didenda RM 500,000 atas keputusan itu, walaupun Editor-in-Chief tidak turut disabit dalam kes itu.
Keputusan ini mencetuskan perdebatan tentang impak terhadap kebebasan bersuara di ruang digital dan sejauh mana tanggungjawab pemilik media.
Isu Kritikal & Protes Awam
Pengenalan Seksyen 114A mendapat tentangan besar daripada komuniti digital dan organisasi kebebasan media. Sebagai reaksi, pada 14 Ogos 2012, dijalankan “Malaysia Internet Blackout Day” sebagai protes terhadap seksyen ini.
Kritikan utama termasuk bahawa 114A mencalarkan prinsip asas asas anggapan tidak bersalah dan meletakkan beban bukti besar ke atas defendan, iaitu pemilik akaun, untuk menangkis tuduhan tersebut.
“Bukan Setiap Komen Membuktikan Pemilik Bersalah”
Peguam Mohamed Haniff Kathri Abdulla bagaimanapun menegaskan bahawa walaupun undang-undang memberi anggapan bahawa pemilik akaun adalah penerbit, ia bukan dakwaan bersalah secara mutlak.
“Presumption means presumption, bukannya bermakna setiap komen pihak ketiga secara mutlak menjadikan pemilik bersalah,” jelas beliau.
Haniff mengingatkan bahawa undang-undang ini perlu difahami secara konteks, bukan secara literal.
“Rakyat tidak boleh anggap setiap komen orang lain automatik menjadikan pemilik akaun bersalah. Undang-undang ini melihat kepada fakta kes. Jika akaun digodam, atau sistem kawalan sudah disediakan tetapi gagal berfungsi, pemilik boleh membela diri,” tambahnya.
Menurut Haniff, Seksyen 114A adalah anggapan fakta, bukan anggapan undang-undang.Tujuannya adalah untuk membantu pihak pendakwa/ plaintif mengemukakan bukti awal, tetapi bukan menimbulkan hukuman tanpa pembelaan.
Beliau menyebut bahawa pemilik akaun dan pengendali media sosial wajar mengambil langkah “munasabah” seperti sistem penapisan automatik, pemantauan komen, dan tindak balas pantas tatkala komen melampau muncul.
Jika tidak diberi perhatian, tindakan boleh dianggap “merelakan” komen untuk kekal.
“Defendan boleh membatalkan anggapan jika dia dapat membuktikan melalui bukti atau fakta bahawa dia tidak mempunyai kawalan, bahawa sistem akaunnya digodam, tidak tahu dan tidak mampu pantau komen,” jelas Haniff.
Kebebasan Bersuara vs Kawalan Undang-Undang
Beliau menekankan bahawa kebebasan bersuara dilindungi Perlembagaan tetapi ia tertakluk kepada undang-undang seperti fitnah, hasutan dan undang-undang siber. Jika tiada kawalan, ruang maya boleh disalahgunakan seperti penyebaran pornografi, fitnah, atau provokasi terhadap keamanan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan penyedia platform besar seperti Meta (Facebook) dan YouTube mempunyai tanggungjawab membangunkan sistem teknologi saringan.
Namun bagi individu atau organisasi media, tanggungjawab asas ialah memantau ruangan komen secara berpatutan.
“Kalau kita memilih untuk buka ruangan komen, maka perlu ada tanggungjawab. Kalau tidak mampu, lebih baik ditutup. Tapi tiada undang-undang yang mewajibkan ia ditutup. Itu pilihan dan bergantung pada kemampuan,” jelasnya.
Mengakhiri temuramah, beliau menekankan bahawa isu paling penting ialah kefahaman rakyat terhadap fungsi sebenar Seksyen 114A.
“Ia bukan undang-undang untuk menghukum secara membuta tuli, tetapi mekanisme undang-undang untuk mengimbangi kebebasan bersuara dengan tanggungjawab sosial,” ujarnya. -The Merdeka Times