Terkini
LAPORAN KHAS: Fadhlina berjaya tawan hati guru, Disaran pupuk kepercayaan rakyat
- Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom, pendekatan menteri pendidikan kini memperlihatkan keperibadian yang mesra dan terbuka terhadap warga sekolah.
- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad, pula berpandangan bahawa Menteri Pendidikan telah berjaya menambat hati para pendidik melalui keprihatinannya terhadap kebajikan guru serta pembangunan sekolah.
- Anuar berpendapat, salah satu langkah penting ialah membina naratif positif yang menggambarkan usaha gigih kementerian dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.
Dalam suasana pendidikan negara yang semakin mencabar, sosok Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilihat semakin mendapat perhatian umum bukan sahaja cara beliau menangani pelbagai isu semasa, tetapi juga kerana sikap mesranya terhadap warga pendidik dan pelajar di seluruh negara.
Di sebalik tekanan serta tanggungjawab berat yang dipikul, pendekatan beliau yang dekat dengan rakyat nyata memberi kesan positif, khususnya dalam kalangan guru dan pelajar yang menyambut baik setiap lawatan serta inisiatif yang dijalankan.
Dua tokoh penting yang memberikan pandangan serta menyuarakan mekanisme bagi Kementerian Pendidikan (KPM) yang diterajui oleh Fadhlina Sidek ke arah yang lebih maju ialah mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom serta Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad
Menteri Mesra, Di Hargai Warga Sekolah
Bagi mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom, pendekatan menteri pendidikan kini memperlihatkan keperibadian yang mesra dan terbuka terhadap warga sekolah.
“Secara umumnya saya dapati menteri pendidikan, Fadhlina Sidek, seorang yang sangat mesra dengan pelajar-pelajar dan guru-guru.
“Kita boleh lihat bagaimana sambutan daripada pelajar-pelajar dan guru-guru serta pihak sekolah yang terlibat terhadap beliau terutamanya apabila beliau membuat lawatan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurutnya, keterbukaan dan keakraban ini menjadi faktor penting dalam membina keyakinan serta hubungan baik antara kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan dengan warga sekolah di seluruh negara.
Baru-baru ini media melaporkan, beberapa warga pendidik tampil mempertahankan Fadhlina Sidek, susulan perdebatan dalam media sosial yang mempertikaikan keberkesanan beliau menerajui kementerian itu berhubung masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Dalam perkongsian di media sosial, warga pendidik jelas menyatakan bahawa sepanjang kepimpinan Fadhlina, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memudahkan urusan guru di sekolah.
Jelasnya lagi, walaupun pemimpin itu tidak sempurna namun Fadhlina adalah lebih baik berbanding menteri sebelum ini sejak memikul tanggungjawab itu pada tahun 2018.
Cabaran Besar, Tanggungjawab Bersama
Namun begitu, Alimuddin turut mengingatkan bahawa tanggungjawab yang dipikul oleh seorang menteri pendidikan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi dalam mendepani isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat seperti disiplin dan keselamatan pelajar.
“Tugas sebagai Menteri Pendidikan itu amat berat terutamanya apabila berlaku beberapa isu disiplin pelajar.
“Jadi ini satu cabaran yang besar kepada kementerian pendidikan dan saya rasa beliau boleh tanganinya dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan ialah tanggungjawab bersama dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di atas bahu kementerian sahaja.
“Kalau berlaku sesuatu isu di dalam pendidikan, kita tidak boleh menunjukkan kepada menteri sahaja kerana masalah ini melibatkan ramai pihak termasuk guru-guru, pelajar-pelajar, ibu bapa dan seluruh warga di negara,” katanya.
Justeru itu, beliau menasihati masyarakat untuk terus memberi sokongan kepada dasar-dasar kementerian.
Tiada Kegagalan Komunikasi, Hanya Persepsi
Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak berhubung komunikasi kementerian, Alimuddin menolak dakwaan wujudnya kegagalan komunikasi.
“Saya rasa tidak timbul soal kegagalan komunikasi. Ini bergantung kepada bagaimana pihak-pihak tertentu melihat.
“Bagi mereka yang melihat laman web Kementerian Pendidikan, melihat perkembangan dalam bidang pendidikan akan ada satu pandangan yang positif terhadap beliau dan juga kementerian pendidikan,” katanya.
Beliau yakin, dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa, masyarakat dan pihak berkepentingan lain, segala dasar yang dirangka akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Naratif Positif Perlu Dibina Semula
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad, pula berpandangan bahawa Menteri Pendidikan telah berjaya menambat hati para pendidik melalui keprihatinannya terhadap kebajikan guru serta pembangunan sekolah.
Walaubagaimanapun beliau menegaskan bahawa perhatian juga perlu diberikan kepada persepsi masyarakat umum.
“Sebagai menteri pendidikan dia banyak memberikan masa kepada pendidik dan tentu saja ada ramai pendidik yang melihat bahawa beliau merupakan seorang menteri yang memberikan kepentingan kepada kebajikan mereka mengambil berat soal pendidikan serta sekolah-sekolah dan sebagainya.
“Saya rasa sebagai menteri dia memang berjaya menambat hati para pendidik dan untuk meningkatkan lagi populariti itu tentulah masyarakat juga perlu diberi perhatian.
“Dalam masa sama, beliau akan terus memberi perhatian kepada apa yang disampaikan oleh masyarakat khususnya beberapa teguran dan juga beberapa pandangan yang mungkin berbeza dengan apa yang dihasratkan oleh mereka,” ujarnya.
Anuar berpendapat, salah satu langkah penting ialah membina naratif positif yang menggambarkan usaha gigih kementerian dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.
“Saya rasa apa yang perlu dilakukan oleh pasukan Fadhlina, adalah memberi perhatian kepada membina naratif yang positif terhadap respon-respon masyarakat.
“Kalau masyarakat memberi pandangan dan pasukan menteri memberi respon yang positif, mengambil maklum dan cuba untuk memberikan maklum balas yang baik, saya rasa masyarakat akan kembali menerima apa yang beliau cuba lakukan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa penglibatan menyeluruh daripada semua pihak merupakan kunci kejayaan sebenar sistem pendidikan.
“Pendidikan ini milik masyarakat, ibu bapa, masyarakat serta guru-guru juga mahu terlibat sama.
“Jadi kalau lebih ramai orang terlibat dalam perbincangan yang memberi kebaikan kepada sistem pendidikan negara, justeru itu saya berpandangan libatkanlah mereka kerana itu adalah lebih baik,” katanya lagi.
Bukti Keberhasilan Perlu Diperlihatkan
Anuar turut menegaskan bahawa dalam era media sosial yang pantas membentuk persepsi, bukti keberhasilan perlu dikemukakan bagi menangkis pandangan negatif.
“Beliau harus bekerja dengan lebih kuat, di samping menunjukkan bukti-bukti yang ada hasil atas segala usaha serta dasar-dasar yang telah dilaksanakan, tidak cukup kalau setakat menjawab dalam keadaan tidak ada bukti.
“Kita kena ada bukti, kena ada contoh, kena ada kesan menerusi hasil daripada apa yang telah dan sedang dilakukan oleh pasukan beliau.
“Saya rasa yang penting pada pandangan saya ialah bekerja lebih kuat untuk memajukan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa sistem pendidikan kita ini sedang bergerak ke arah yang lebih positif,” katanya.
Pendidikan Milik Semua
Kedua-dua tokoh pendidikan ini sependapat bahawa kejayaan sistem pendidikan negara tidak hanya bergantung kepada kepimpinan kementerian semata-mata, tetapi kepada kerjasama menyeluruh seluruh rakyat Malaysia daripada guru dan ibu bapa sehingga masyarakat umum.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilihat berada pada landasan yang betul dalam membina hubungan baik dengan pelajar dan guru, namun perjalanan ke arah transformasi pendidikan negara memerlukan komitmen yang konsisten, komunikasi yang jelas serta penglibatan menyeluruh semua pihak.
Pendekatan mesra dan keterbukaan Fadhlina dalam mendekati warga sekolah telah mewujudkan suasana positif dalam dunia pendidikan. Namun, seperti ditegaskan oleh para tokoh pendidikan, perjuangan membina sistem pendidikan yang kukuh memerlukan sokongan padu, keikhlasan dan usaha berterusan daripada semua pihak.
Alimuddin turut memberitahu bahawa matlamat kepada pendidikan demi kesejahteraan rakyat.
“Matlamat pendidikan itu untuk kesejahteraan rakyat, khususnya pelajar-pelajar. Justeru itu, sudah tentu dengan sokongan daripada semua pihak, ibu bapa, anggota masyarakat apa yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan itu akan beroleh kejayaan.” tegasnya. – The Merdeka Times