Terkini
LAPORAN KHAS: 60 peratus pengundi Melayu masih anggap DAP ancaman Islam – Kajian ILHAM Centre
- Kajian ILHAM Centre menunjukkan sekitar 60 peratus pengundi Melayu masih mempercayai naratif bahawa DAP mengancam kedudukan Melayu dan Islam.
- “Angka ini dianggap sangat tinggi dan mencerminkan kegagalan DAP dalam memecahkan stereotaip lama yang dicipta sejak dekad-dekad lalu.Selagi DAP tidak mampu memposisikan dirinya dalam kerangka politik nilai kebangsaan yang benar-benar inklusif, ia akan terus menjadi liabiliti persepsi kepada gabungan PH khususnya kepada PKR dan Amanah dalam usaha menawan kembali kepercayaan majoriti Melayu,” – Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar
Walaupun telah menjadi antara tulang belakang utama dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), Parti Tindakan Demokratik (DAP) masih bergelut untuk melepaskan diri daripada persepsi sebagai parti berteraskan etnik Cina.
Secara prinsip dan ideologi parti itu menegaskan komitmen kepada politik pelbagai kaum, realitinya DAP kekal terperangkap dalam kerangka politik etnosentrik dengan maksud kecenderungan untuk melihat budaya sendiri sebagai lebih unggul dan hebat berbanding budaya lain yang mengekang kebolehterimaannya dalam kalangan pengundi Melayu.
Dua tokoh penting membincangkan serta memberikan pandangan mengenai isu ini ialah Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar, dan penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis.
Warisan Naratif Lama Yang Terus Membayangi
Sejak penubuhannya pada tahun 1966, DAP telah dijadikan sasaran utama serangan politik oleh parti-parti berteraskan nasionalisme Melayu seperti UMNO.
Naratif ketakutan terhadap DAP yang sering dikaitkan sebagai ancaman terhadap Islam dan hak istimewa Melayu telah menjadi salah satu senjata retorik paling berkesan dalam sejarah politik Malaysia pasca kemerdekaan.
Hisommudin berkata persepsi negatif ini bukan muncul secara semula jadi, tetapi hasil daripada pembinaan imej dan naratif politik yang telah berakar sejak berdekad-dekad lalu.
“Tun Dr. Mahathir sendiri, sewaktu menjadi pemimpin UMNO, pernah mengakui bahawa beliau antara yang bertanggungjawab menanam persepsi negatif terhadap DAP dalam kalangan orang Melayu.
“Naratif tersebut kemudiannya menjadi sebahagian daripada warisan psikologi politik yang masih membayangi persepsi pengundi Melayu sehingga kini,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurut Hisommudin, strategi menggambarkan DAP sebagai ancaman terhadap Islam dan Melayu telah berjaya menanam ketakutan kolektif yang sukar dikikis dalam kalangan pengundi majoriti.
Tambahnya lagi, walaupun DAP berusaha menampilkan diri sebagai parti berbilang kaum, usaha itu sering tenggelam dalam gelombang retorik perkauman yang masih kuat di kalangan segmen luar bandar.
Usaha Reformasi Imej Belum Mengubah Persepsi
Hisommudin menegaskan DAP sememangnya telah mengambil pelbagai langkah ke arah memperluas penyertaan rentas kaum.
“Parti itu memberi ruang kepada pemimpin Melayu untuk menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan telah menampilkan beberapa tokoh muda Melayu sebagai ADUN dan Ahli Parlimen antaranya Syerleena Abdul Rashid, Sheikh Omar, Young Syefura Othman, dan Syahredzan Johari, namun begitu, langkah-langkah itu masih belum cukup kuat untuk mengubah persepsi mendalam yang terbentuk sejak lama.
“Secara realistik, DAP masih belum berjaya melepaskan dirinya daripada dogma bahawa parti tersebut mewakili etnik Cina, walaupun secara ideologi dan struktur, mereka menegaskan prinsip pelbagai kaum,” katanya.
Tambahnya lagi, kemenangan besar DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang berpaksikan sokongan hampir sepenuhnya daripada pengundi Cina memperkukuh tanggapan bahawa parti itu sebenarnya berfungsi sebagai pewaris kepada peranan politik MCA dan Gerakan suatu ketika dahulu.
“Faktor asasnya ialah struktur sokongan mereka, 40 kerusi yang dimenangi DAP berpaksikan lebih 80 peratus undi daripada komuniti Cina. Dalam keadaan ini, parti tersebut secara tidak langsung menggantikan fungsi MCA dan Gerakan sebagai wakil utama politik Cina,” ujarnya.
Kesan Langsung Kepada PKR dan Amanah
Hubungan DAP dengan PKR dan Amanah dalam PH disifatkan oleh Hisommudin sebagai “saling bergantung tetapi tidak seimbang.”
“DAP membawa kekuatan undi bandar dan separa bandar, terutamanya daripada komuniti bukan Melayu, manakala PKR dan Amanah menjadi wajah Melayu-Islam yang sederhana dalam gabungan itu.
“Namun, keseimbangan ini sering kali rapuh kerana beban persepsi terhadap DAP memberi kesan langsung kepada keupayaan PKR dan Amanah untuk menembusi pengundi Melayu luar bandar.
“DAP kekal menjadi ‘punching bag’ utama parti lawan, dan pada masa sama menjadi beban persepsi kepada sekutu mereka dalam PH, khususnya PKR dan Amanah dalam usaha memperluas pengaruh ke segmen pengundi Melayu,” tegasnya.
Menurutnya, kajian ILHAM Centre menunjukkan sekitar 60 peratus pengundi Melayu masih mempercayai naratif bahawa DAP mengancam kedudukan Melayu dan Islam.
“Angka ini dianggap sangat tinggi dan mencerminkan kegagalan DAP dalam memecahkan stereotaip lama yang dicipta sejak dekad-dekad lalu.
“Selagi DAP tidak mampu memposisikan dirinya dalam kerangka politik nilai kebangsaan yang benar-benar inklusif, ia akan terus menjadi liabiliti persepsi kepada gabungan PH khususnya kepada PKR dan Amanah dalam usaha menawan kembali kepercayaan majoriti Melayu,” katanya.
Beban Persepsi Yang Belum Diurus
Penganalisis politik Mujibu Abdul Muis turut mengakui bahawa DAP berdepan cabaran besar untuk mengimbangi realiti politik identiti Malaysia yang masih berteraskan etnik dan agama.
“Umumnya DAP sering kali menjadi tumpuan dalam perbahasan politik Malaysia, khususnya apabila melibatkan persepsi pengundi Melayu terhadap PH.
“Walaupun DAP memiliki struktur parti yang tersusun dan disiplin politik yang kuat, parti ini juga berdepan cabaran persepsi dan simbolisme politik yang agak kompleks,” katanya.
Menurut beliau, politik simbol dan emosi memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi terhadap DAP bukan semata-mata soal dasar atau ideologi.
“Dari segi impak politik, usaha DAP memecahkan stereotaip parti Cina masih belum cukup kuat untuk menyaingi persepsi yang telah berakar sejak lama. Ini bukan semata soal realiti, tetapi soal simbol dan emosi politik yang dibentuk oleh sejarah dan propaganda lawan,” katanya.
Paradoks DAP: Aset Strategik di Bandar, Liabiliti di Luar Bandar
Mujibu turut menekankan bahawa DAP kini berada dalam kedudukan paradoks menjadi aset besar di kawasan bandar dan campuran, tetapi liabiliti politik di kawasan majoriti Melayu luar bandar.
“Di kawasan majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang, sentimen anti-DAP sering dieksploitasi oleh lawan untuk menimbulkan ketakutan bahawa sokongan kepada PH bermakna ‘menyokong DAP’.
“Namun di kawasan bandar seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, kekuatan DAP menjadi enjin utama kemenangan PH,” jelasnya.
Katanya, DAP mempunyai jentera pilihan raya yang sangat efisien, struktur akar umbi yang kukuh dan sokongan pengundi setia, antara faktor yang menjadikannya aset strategik kepada PH.
Namun, jelas beliau, kebergantungan berlebihan kepada kekuatan DAP juga menjadikan PH sukar memperluas tapak dalam kalangan pengundi Melayu konservatif.
“Jika PH gagal mengurus persepsi DAP dalam kalangan pengundi Melayu sambil mengekalkan kekuatan sokongan bukan Melayu, gabungan itu berisiko kehilangan keseimbangan sokongan nasional yang menjadi asas kejayaannya pada 2018,” katanya.
Menangani Naratif, Bukan Sekadar Strategi Pilihan Raya
Kedua-dua penganalisis turut berpendapat bahawa isu yang dihadapi DAP bukan lagi sekadar strategi pilihan raya, tetapi soal naratif dan psikologi politik.
Hisommudin menekankan bahawa DAP perlu membina naratif kebangsaan yang inklusif dan menyentuh emosi, bukan sekadar retorik rasional tentang kesamarataan.
“DAP masih belum keluar daripada kerangka politik etnosentrik yang membataskan kebolehterimaan parti itu dalam kalangan pengundi Melayu.
“Ia kekal menjadi sasaran utama serangan politik lawan dan faktor penghalang utama dalam usaha PH memperluas sokongan di segmen Melayu luar bandar,” katanya.
Mujibu pula berpandangan bahawa komunikasi politik DAP perlu disesuaikan dengan konteks sosio-budaya tempatan.
“DAP juga belum berjaya sepenuhnya membina naratif kebangsaan yang meyakinkan semua kaum, imejnya masih terikat dengan politik bandar dan masyarakat Cina, manakala komunikasi politiknya kurang menyentuh nilai dan emosi yang dekat dengan pengundi Melayu luar bandar.
“Cabaran utama DAP kini ialah menyesuaikan mesej kesamarataan dengan sensitiviti budaya tempatan dan membina naratif yang benar-benar mencerminkan semangat kebangsaan. Jika berjaya, DAP mampu menukar persepsi liabiliti menjadi aset strategik dalam gabungan PH,” ujarnya.
DAP di Persimpangan Arah Politik Nasional
Baik Hisommudin mahupun Mujibu bersetuju bahawa DAP kini berada di persimpangan penting dalam menentukan masa depannya sebagai parti nasional.
Hisommudin berpendapat DAP perlu mencari usaha di dalam menawan hati kepercayaan masyarakat pengundi Melayu.
“Secara keseluruhan, selagi DAP tidak mampu memposisikan dirinya dalam kerangka politik nilai kebangsaan yang benar-benar inklusif, ia akan terus menjadi liabiliti persepsi kepada gabungan PH khususnya kepada PKR dan Amanah dalam usaha menawan kembali kepercayaan majoriti Melayu.
“Jika ini berjaya, DAP boleh berubah daripada liabiliti persepsi kepada aset strategik PH,” ujarnya.
Mujibu melihat DAP bukan sepenuhnya liabiliti, tetapi lebih kepada beban persepsi yang belum selesai diurus dengan baik.
“Dalam realiti politik semasa, persepsi sering mengatasi fakta. PH perlu menyeimbangkan imej kolektifnya dengan DAP perlu kelihatan lebih nasionalis, dan parti lain perlu tampil mempertahankan prinsip kesamarataan tanpa dilihat tunduk kepada tekanan etnik,” katanya – The Merdeka Times.