Agama
Kenaikan RM600 juta peruntukan Islam bukti keberkesanan dakwah negara dan syiar Islam – Mufti
- Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, peningkatan peruntukan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan institusi Islam di negara ini melalui Belanjawan 2026.
- “Saya menyokong penuh peruntukan ini kerana semua agensi-agensi agama yang berkaitan, memainkan peranan penting menyebarkan syariat Islam dan mempertahankan agama,” katanya.
- Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata beliau amat menghargai keprihatinan dan sokongan berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan institusi Islam serta memperluas capaian dakwah, pendidikan dan pembangunan ummah.
KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan belanjawan kepada agensi-agensi agama Islam sebanyak RM600 juta daripada RM2 bilion kepada RM2.6 bilion disifatkan sebagai satu kejayaan besar hasil keberkesanan program dakwah serta usaha menyebarkan syariat Islam secara berterusan.
Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, peningkatan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasakan institusi Islam di negara ini melalui Belanjawan 2026.
“Saya menyokong penuh peruntukan ini kerana semua agensi-agensi agama yang berkaitan, memainkan peranan penting menyebarkan syariat Islam dan mempertahankan agama.
“Di Jabatan Mufti sendiri, kami sentiasa membantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam menyampaikan risalah fatwa kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Tambah beliau, peruntukan yang disalurkan akan digunakan bagi memperluas program penerangan seperti Klinik Hukum, perbahasan buku, majalah dan juga pelaksanaan latihan untuk memperkasakan kakitangan Jabatan Mufti.
“Jadi ini merupakan satu berita gembira kepada pihak kami dan semua agensi agama berkaitan, malah kami mengharapkan insya-Allah peruntukan ini berterusan bagi menjayakan Madani Malaysia.,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata beliau amat menghargai keprihatinan dan sokongan berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan institusi Islam serta memperluas capaian dakwah, pendidikan, dan pembangunan ummah.
“Alhamdulillah syukur dengan pengumuman Perdana Menteri sebentar tadi, di atas peruntukan RM2.6 bilion peningkatan sebanyak RM600 juta.
“Ianya menunjukkan komitmen yang tinggi oleh Kerajaan Madani melalui belanjawan dalam memastikan Islam terus mekar di bumi Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memartabatkan institusi pendidikan Islam, memperkasakan masjid serta memperluas kefahaman Islam berteraskan prinsip MADANI.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan syiar Islam terus tertegak dan dimartabatkan dalam pembangunan negara. – The Merdeka Times