Terkini
Jangan salahkan sekolah setiap kali anak bermasalah -ADUN Skudai
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, berkata gejala kanak-kanak yang semakin agresif dan sukar dikawal hari ini mempunyai kaitan langsung dengan kelemahan pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial.
- “Kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai kandungan tanpa batas, termasuk yang tidak sesuai dengan usia mereka. Bila kawalan longgar, mereka mudah meniru tingkah laku agresif, bahasa kasar dan cara berfikir yang terbentuk daripada dunia maya,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR – Ibu bapa tidak boleh lagi menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak kepada sekolah semata-mata, sebaliknya perlu menjadi benteng utama dalam membentuk sahsiah dan emosi anak sejak dari rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, berkata gejala kanak-kanak yang semakin agresif dan sukar dikawal hari ini mempunyai kaitan langsung dengan kelemahan pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial.
“Kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai kandungan tanpa batas, termasuk yang tidak sesuai dengan usia mereka. Bila kawalan longgar, mereka mudah meniru tingkah laku agresif, bahasa kasar dan cara berfikir yang terbentuk daripada dunia maya,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau menambah, algoritma media sosial cenderung menonjolkan kandungan sensasi dan ekstrem, sekali gus membentuk corak pemikiran serta emosi anak-anak.
Oleh itu, katanya, pemantauan digital perlu bermula dari rumah melalui bimbingan yang konsisten, bukan hanya selepas masalah berlaku.
Marina turut mengingatkan bahawa karakter pendiam dalam kalangan kanak-kanak tidak wajar diabaikan kerana ia boleh menjadi petanda awal kepada tekanan emosi atau perasaan terpinggir yang tidak disuarakan.
“Kita sering anggap anak yang pendiam ini ‘baik’, tapi kadangkala ia tanda mereka sedang menanggung beban emosi yang berat. Perubahan kecil dalam tingkah laku perlu diperhatikan,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai peranan keluarga, Marina menegaskan bahawa asas pembentukan moral, disiplin dan empati bermula di rumah, manakala sekolah hanya berfungsi memperkukuh nilai yang telah diasaskan oleh ibu bapa.
“Sekolah dan guru mendidik ilmu serta kemahiran, tapi akar kepada keperibadian anak lahir daripada cara mereka dibesarkan. Kalau rumah gagal jadi tempat kasih sayang dan bimbingan, sekolah tak mampu menampung kekosongan itu,” katanya.
Beliau menegaskan, pembentukan generasi berakhlak tidak boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah dan masyarakat bagi memastikan kanak-kanak membesar dengan seimbang dari segi emosi, moral dan sosial.-The Merdeka Times