Connect with us

Terkini

Isu jenayah pelajar: ‘Menteri usah berlembut, dolak- dalih’

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong
  • “Rakyat tidak mengharapkan menteri menubuhkan satu lagi jawatankuasa untuk mengkaji isu ini, sebaliknya mahu tindakan tegas diambil terhadap pesalah, dan langkah konstruktif diambil untuk menjamin keselamatan pelajar,” kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.
  • Beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pihak berwajib dalam memastikan sekolah kekal sebagai zon selamat.
  • Beliau turut menegaskan kerajaan perlu pandang serius isu tersebut sebelum rakyat hilang kepercayaan.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan digesa mengambil tindakan tegas dan bukannya berdolak-dalih atau bertindak lembut dalam menangani isu-isu jenayah di kalangan pelajar.

Ia susulan satu lagi insiden tragis yang menyayat hati kes rogol berkumpulan di sebuah sekolah di Baling, Kedah, melibatkan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar yang berlaku dalam tempoh Mei hingga Ogos lalu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kesemua tragedi itu tidak lagi boleh dilihat sebagai kes terpencil tetapi sebagai kegagalan sistem pendidikan yang menyeluruh.

“Sudah tiba masanya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengambil langkah tegas dan bukannya berdolak-dalih, atau bertindak lembut dalam menangani isu-isu ini.

“Rakyat tidak mengharapkan menteri menubuhkan satu lagi jawatankuasa untuk mengkaji isu ini, sebaliknya mahu tindakan tegas diambil terhadap pesalah, dan langkah konstruktif diambil untuk menjamin keselamatan pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pihak berwajib dalam memastikan sekolah kekal sebagai zon selamat.

“Kawasan sekolah sepatutnya tempat untuk anak-anak muda menimba ilmu, mencari kawan, dan menerap nilai-nilai murni untuk menjadi seorang dewasa yang berguna kepada masyarakat dan negara.

“Sebaliknya, ia menjadi ‘kawasan maut’ di mana kes-kes buli semakin meningkat dan semakin serius, di mana para pelajar terpaksa mengharungi dugaan dan cabaran yang membahayakan nyawa dan kesejahteraan mereka,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu pandang serius isu tersebut sebelum rakyat hilang kepercayaan.

“Rata-rata rakyat telah menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak mereka di dalam media sosial.

“Ramai juga yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘membuang’ Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan, atau mendesak Fadhlina sendiri meletak jawatan.

“Sudah sampai masanya kerajaan menandang serius isu ini, sebelum rakyat kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author