Connect with us

Terkini

Isu arak dalam pesawat: PAS jawab DAP, ‘ini soal nyawa, Bukan hak individu’

Published

on

Foto: Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya (kiri) dan Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng (kanan).

 

  • Dr Mohd Mazri Yahya, Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat memetik beberapa insiden antarabangsa sebagai bukti risiko minuman keras di udara, termasuk kes penumpang mabuk menumbuk pramugara dalam pesawat British Airways (BBC, 2023), gangguan dalam penerbangan United Airlines hingga pesawat berpatah balik (CNN, 2022), serta kejadian pergaduhan dalam pesawat Ryanair yang memaksa pendaratan cemas (The Guardian, 2019).
  • “Ini bukan lagi soal hak menikmati minuman, tetapi soal keselamatan nyawa ratusan penumpang dalam kabin tertutup,” katanya.

 

 

KUALA LUMPUR — Cadangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) agar minuman beralkohol dihentikan dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) bukan isu ekstrem seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya berpaksikan faktor keselamatan, kesihatan awam dan maruah negara, kata Dr Mohd Mazri Yahya, Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng, yang menyindir PAS dengan berkata, “Minum arak adalah hak orang bukan Islam. Kalau tak suka, tubuhlah syarikat penerbangan sendiri.”

Menurut Dr Mazri, isu arak di udara wajar dilihat secara lebih rasional dan menyeluruh.

Kajian University College London pada 2018 mendapati alkohol bertindak dua kali lebih kuat di udara berbanding di darat disebabkan tekanan oksigen rendah dan kadar dehidrasi tinggi. Ini bermakna dua gelas wain yang diminum di pesawat menyamai empat gelas di darat.

“Dalam ruang udara tertutup, alkohol bukan sekadar menurunkan daya kawalan diri, tetapi juga meningkatkan risiko gangguan, pergaduhan dan kecemasan,” ujar dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau bertajuk Arak di Udara: Antara PAS & DAP, Yang Mana Lebih Ekstrem?

Beliau turut memetik beberapa insiden antarabangsa sebagai bukti risiko minuman keras di udara, termasuk kes penumpang mabuk menumbuk pramugara dalam pesawat British Airways (BBC, 2023), gangguan dalam penerbangan United Airlines hingga pesawat berpatah balik (CNN, 2022), serta kejadian pergaduhan dalam pesawat Ryanair yang memaksa pendaratan cemas (The Guardian, 2019).

“Ini bukan lagi soal hak menikmati minuman, tetapi soal keselamatan nyawa ratusan penumpang dalam kabin tertutup,” katanya.

Menurut beliau, larangan arak dalam penerbangan milik negara Islam tidak sepatutnya dianggap sebagai langkah keagamaan semata-mata, tetapi sebagai tindakan profesional dan bermaruah.

Beberapa syarikat penerbangan utama dunia seperti Saudi Arabian Airlines, Royal Brunei Airlines, Kuwait Airways, dan Pakistan International Airlines (PIA) telah lama mengamalkan dasar bebas alkohol tanpa menjejaskan daya saing.

Dari sudut kesihatan pula, Dr Mazri menjelaskan bahawa alkohol meningkatkan risiko dehidrasi, tekanan darah tinggi dan kehilangan oksigen, terutamanya bagi warga emas atau penumpang yang mempunyai penyakit jantung.

Berdasarkan kajian Aerospace Medical Association (2020), gabungan alkohol dan tekanan udara rendah boleh menurunkan paras oksigen darah sehingga 30 peratus.

“Minum arak dalam pesawat bukan menyegarkan, tetapi sebenarnya memudaratkan,” katanya.

Mengulas tuduhan DAP bahawa PAS terlalu ekstrem, Dr Mazri menegaskan bahawa pendirian partinya lebih praktikal dan berpandangan jauh.

“Cadangan PAS supaya arak dihentikan dalam penerbangan Malaysia Airlines bukanlah ekstrem. Ia praktikal, berpandangan jauh, dan berasaskan keselamatan,” tegasnya.

Dr Mazri menegaskan, cadangan PAS bukan bertujuan memaksa, tetapi satu seruan kepada kerajaan dan MAS agar menilai dasar semasa dengan lebih bijak.

“Malaysia boleh menjadi pelopor konsep Penerbangan Sejahtera’, terbang tinggi tanpa arak, tetapi penuh nilai, adab dan tanggungjawab,” katanya.-The Merdeka Times

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author