Terkini
Insiden tikaman di sekolah cerminan krisis sokongan kesihatan mental pelajar
- Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Dr. Rahima Dahlan @ Mohd Shafie berkata meskipun kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa dan melibatkan remaja bawah umur, kejadian itu telah mengundang kebimbangan ramai pihak mengenai tahap kesejahteraan emosi pelajar serta keupayaan sistem sedia ada untuk mengesan dan mencegah insiden sedemikian daripada berulang.
- “Isu kesihatan mental tidak boleh dipikul oleh pakar psikiatri sahaja. Ia memerlukan pendekatan berpasukan, melibatkan guru, kaunselor sekolah, psikologi klinikal, pegawai perubatan di klinik kesihatan, serta ibu bapa dan penjaga,” katanya.
- Dalam pada itu, ahli Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Ahmad Rostam Md Zin berkata apabila masalah kesihatan mental tidak dikendali dari awal, ia boleh menyebabkan pelbagai mudarat bukan sahaja kepada individu yang mengalaminya bahkan kepada ahli keluarga, rakan dan komuniti setempat.
KUALA LUMPUR – Insiden membabitkan seorang pelajar yang dipercayai menikam rakan sekolahnya baru-baru ini wajar dijadikan peringatan penting kepada seluruh masyarakat, khususnya berkenaan keperluan memperkukuhkan sistem sokongan kesihatan mental di sekolah dan komuniti.
Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Dr. Rahima Dahlan @ Mohd Shafie berkata meskipun kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa dan melibatkan remaja bawah umur, kejadian itu telah mengundang kebimbangan ramai pihak mengenai tahap kesejahteraan emosi pelajar serta keupayaan sistem sedia ada untuk mengesan dan mencegah insiden sedemikian daripada berulang.
“Isu kesihatan mental tidak boleh dipikul oleh pakar psikiatri sahaja. Ia memerlukan pendekatan berpasukan, melibatkan guru, kaunselor sekolah, psikologi klinikal, pegawai perubatan di klinik kesihatan, serta ibu bapa dan penjaga.
“Guru dan kaunselor adalah barisan hadapan yang paling awal melihat perubahan tingkah laku pelajar, sekiranya ada tanda-tanda amaran, rujukan awal kepada pihak kesihatan boleh menyelamatkan banyak keadaan sebelum menjadi lebih serius,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa stigma masyarakat terhadap rawatan psikiatri menjadi penghalang utama kepada usaha pencegahan dan pemulihan.
“Kita perlu menghapuskan stigma bahawa mendapatkan bantuan psikiatri atau mengambil ubat adalah satu kelemahan. Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan menyeluruh sama pentingnya seperti menjaga jantung atau tekanan darah.
“Dengan pendidikan, kefahaman dan empati, kita boleh mewujudkan persekitaran sekolah dan komuniti yang lebih selamat, menyokong, dan prihatin terhadap kesejahteraan emosi remaja kita,” ujarnya.
Menurut Rahima, ramai individu yang mengalami masalah kesihatan mental sukar mendapatkan rawatan disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kurang kesedaran tentang gejala, rasa malu, dan ketakutan terhadap pandangan masyarakat.
“Secara amnya, ramai individu yang mengalami masalah kesihatan mental sukar mendapatkan rawatan disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah kurang kesedaran tentang gejala penyakit mental, rasa malu atau takut akan pandangan masyarakat, dan kepercayaan bahawa masalah tersebut boleh “pulih sendiri.”
“Bagi remaja pula, mereka mungkin tidak faham apa yang sedang berlaku kepada diri sendiri, atau sukar untuk meluahkan perasaan kepada orang dewasa, malah ada juga pesakit yang berhenti makan ubat apabila mereka mula berasa “lebih baik” sedangkan ubat itu perlu diambil secara berterusan untuk menstabilkan keadaan mereka,” katanya.
Rahima memberitahu, jika pesakit tidak meneruskan rawatan, simptom boleh berulang atau menjadi lebih teruk termasuk perubahan emosi yang mendadak, gangguan tidur, pemikiran mencederakan diri, atau tingkah laku agresif.
“Dalam sesetengah kes, hal ini boleh memberi risiko kepada keselamatan diri sendiri dan orang lain, bagi ahli keluarga, mereka mungkin berasa tertekan, keliru atau tidak tahu bagaimana hendak membantu.
“Kesan berantai ini boleh menyebabkan suasana rumah menjadi tegang dan hubungan sosial terganggu. Oleh itu, kesinambungan rawatan adalah sangat penting bagi kestabilan emosi dan keselamatan semua pihak,” tegasnya.
Beliau menekankan keperluan bagi pihak sekolah dan komuniti agar lebih proaktif dalam mengenal pasti tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar malah selain guru dan kaunselor, ibu bapa juga memainkan peranan besar untuk peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak.
Katanya lagi, pihak berkuasa pendidikan dan kesihatan juga disaran memperluas program intervensi awal serta kempen kesedaran di sekolah-sekolah, termasuk latihan kepada guru untuk mengenal pasti risiko awal yang berkaitan dengan kemurungan, kecelaruan emosi dan tekanan.
Dalam pada itu, ahli Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Ahmad Rostam Md Zin berkata apabila masalah kesihatan mental tidak dikendali dari awal, ia boleh menyebabkan pelbagai mudarat bukan sahaja kepada individu yang mengalaminya bahkan kepada ahli keluarga, rakan dan komuniti setempat.
“Masyarakat beranggapan bahawa rawatan masalah kesihatan mental hanya menggunakan ubat sahaja tetapi ini juga salah faham. Penggunaan ubatan hanyalah untuk situasi dan diagnosa penyakit tertentu sahaja.
“Majoriti masalah kesihatan mental tidak memerlukan ubat dan perlu kepada intervensi yang pelbagai seperti intervensi psikologi, sosial, komuniti dan spiritual,” katanya.
Ahmad Rostam menambah individu yang mengalami masalah mental akan mengalami kemerosotan kefungsian dan mengganggu potensi kendiri jangka panjang jika tidak dirawat.
“Punca mengapa berlakunya kelewatan dalam mendapatkan rawatan adalah pelbagai seperti pengetahuan yang kurang berkaitan tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan intervensi yang sesuai untuk setiap tahap masalah tersebut; tidak tahu bagaimana mahu mendapatkan rawatan dan bila masa yang betul untuk memulakan rawatan
“Selain itu, salah tafsir gejala kesihatan mental sebagai masalah tingkah laku dan perangai; serta stigma terhadap masalah kesihatan mental itu sendiri menyebabkan ramai rasa segan untuk mendapatkan rawatan walaupun perlu.
“Masalah kesihatan mental selalu dikaitkan dengan kelemahan jati diri, salah ibu bapa, masalah kurang agama dan pelbagai isu sosial lain yang sebenarnya bukan isu pokok dalam konteks kesihatan mental,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan kononnya suspek yang menikam seorang pelajar Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan) di sebuah sekolah di Selangor mempunyai masalah kesihatan mental.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, berkata, dorongan emosi dan pengaruh media sosial mungkin mendorong suspek berusia 14 tahun menikam dan membunuh pelajar perempuan sekolah sama di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Katanya, siasatan setakat ini menunjukkan bahawa faktor-faktor terbabit menyumbang kepada tindakan pelajar lelaki Tingkatan Satu itu. – The Merdeka Times