Terkini
Influenza A: ‘Boleh tutup sekolah atau premis, tapi tak perlu laksana semula PKP’
- Profesor Kanan TIDREC, UM, Profesor Dr. Sazaly Abu Bakar berkata tindakan drastik seperti PKP tidak perlu diambil kerana negara sudah memiliki pengalaman dan langkah pencegahan yang terbukti berkesan ketika menghadapi pandemik Covid-19.
- Bagaimanapun, beliau mengingatkan tindakan bersasar seperti penutupan sementara boleh diambil sekiranya berlaku penularan besar.
- Dr. Sazaly menyarankan agar individu yang tergolong dalam kumpulan berisiko seperti warga emas atau penghidap penyakit kronik mendapatkan vaksin Influenza yang telah tersedia dan selamat digunakan.
KUALA LUMPUR – Penularan jangkitan Influenza A yang dilaporkan di beberapa kawasan kebelakangan ini tidak memerlukan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia bukan penyakit baharu, sebaliknya merupakan jangkitan bermusim yang telah wujud sejak sekian lama.
Profesor Kanan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Sazaly Abu Bakar berkata tindakan drastik seperti PKP tidak perlu diambil kerana negara sudah memiliki pengalaman dan langkah pencegahan yang terbukti berkesan seperti ketika menghadapi pandemik Covid-19 dahulu.
“Tidak mungkin akan berlaku lagi PKP, sebab ini bukan jangkitan yang baru dan Influenza A ni memang dah sentiasa ada, setiap tahun ada.
“Industri semua tidak akan ditutup seperti sebelum ini, kerana tiada keperluan bagi melaksanakan PKP,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan tindakan bersasar seperti penutupan sementara industri atau premis boleh diambil sekiranya berlaku penularan besar.
“Kalau misalkan dalam satu sekolah itu ramai yang sudah dijangkiti, memang saya kata sewajarnya ditutup sekolah itu buat sementara waktu.
“Ia sebagai langkah bagi mengekang wabak tersebut daripada menular lebih teruk,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah pencegahan masih relevan dan perlu diamalkan bagi mengekang penularan, termasuk pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan serta penjarakan sosial.
“Cara yang paling baik bagi elak penularan adalah langkah-langkah yang seperti kita buat ketika penularan wabak COVID-19 dahulu, maknanya menggalakkan balik semua penggunaan pelitup muka, kerap mencuci atau sanitasi tangan serta penjarakan sosial.
“Malah mungkin yang berpenyakit itu digalakkan untuk menggunakan pelitup muka bagi mengelakkan penularan wabak,” ujarnya.
Tambah Sazaly, Influenza A boleh menyebabkan komplikasi serius sekiranya tidak dirawat dengan segera, termasuk dehidrasi dan dalam kes yang teruk, kematian.
“Kalau misalnya tidak mendapatkan rawatan yang awal, contohnya orang yang dijangkiti influenza ini mungkin akan mengalami dehydrasi, jadi mungkin dia akan kehilangan air dan boleh menyebabkan kematian,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar individu yang tergolong dalam kumpulan berisiko seperti warga emas atau penghidap penyakit kronik mendapatkan vaksin Influenza yang telah tersedia dan selamat digunakan.
“Apa yang penting saya sarankan agar orang ramai mendapatkan vaksin influenza.
“Sebaik-baiknya bagi mereka yang ada komplikasi penyakit kronik bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku di kemudian hari,” katanya. – The Merdeka Times