Terkini
Hentikan projek hospital swasta baharu, Fokus kekalkan pakar di hospital awam – PSM
- Membenarkan pembukaan hospital swasta baharu hanyalah akan menambah beban sistem kesihatan negara dan mempercepatkan pengaliran keluar doktor pakar.
- Tumpuan penuh kerajaan sepatutnya diberikan kepada mengekalkan pakar dalam perkhidmatan awam, bukan membenarkan sektor swasta untuk mengaut keuntungan dengan ‘mencuri’ pakar daripada sistem kesihatan rakyat.
- Beliau turut menolak skim Rakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diperkenalkan kerajaan sebagai solusi mengekalkan pakar di sektor awam.
KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan agar segera mengenakan moratorium selama lima tahun terhadap pembukaan hospital swasta baharu di seluruh negara berikutan kebimbangan kekurangan tenaga pakar perubatan di hospital kerajaan pada masa depan.
Ahli Jawatankuasanya Gandipan Nantha Gopalan berkata, dalam situasi kritikal ini, membenarkan pembukaan hospital swasta baharu hanyalah akan menambah beban sistem kesihatan negara dan mempercepatkan pengaliran keluar doktor pakar.
Tegasnya, kira-kira 70 peratus doktor pakar berpengalaman lebih 10 tahun kini berkhidmat di sektor swasta, manakala 70 peratus pesakit yang memerlukan rawatan di wad masih dirawat di hospital kerajaan.
“Fenomena ini menyebabkan kekurangan pakar di hospital kerajaan dan tempoh menunggu rawatan kritikal semakin lama, malah kami bimbang pembukaan hospital swasta baharu akan memburukkan lagi masalah ini.
“Tumpuan penuh kerajaan sepatutnya diberikan kepada mengekalkan pakar dalam perkhidmatan awam, bukan membenarkan sektor swasta untuk mengaut keuntungan dengan ‘mencuri’ pakar daripada sistem kesihatan rakyat. ,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, situasi ini semakin meruncing apabila syarikat besar seperti Sunway Healthcare Holdings dan Thomson Medical Group terus memperluaskan empayar hospital swasta mereka.
“Sunway baru-baru ini mengumumkan rancangan tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai projek pembangunan RM1.6 bilion termasuk pembinaan hospital baharu di Iskandar Puteri, Johor manakala Thomson Medical Group pula merancang projek mega bernilai RM18 bilion dengan pembinaan hospital swasta besar di negeri yang sama.
“Sebagai contoh, Sunway Medical Centre Ipoh yang baru dilancarkan berjaya merekrut 12 doktor pakar daripada hospital kerajaan dengan skim ‘top up’ sehingga RM70,000 sebulan untuk tahun pertama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak skim Rakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diperkenalkan kerajaan sebagai solusi mengekalkan pakar di sektor awam.
“Kami juga menjangkakan kerajaan akan berhujah bahawa skim Rakan KKM ialah jalan penyelesaian untuk mengekalkan pakar di sektor awam tetapi hakikatnya, Rakan KKM bukan jawapan, malah akan memburukkan lagi keadaan.
“Kesihatan adalah hak rakyat dan bukan barangan dagangan, kerajaan haruslah menaikkan peruntukan tahunan KKM kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk benar-benar menyelesaikan isu kekurangan pakar dan memperkukuh sistem kesihatan awam,” tegasnya. – The Merdeka Times