Connect with us

Terkini

Fasih bahasa Melayu perlu dijadikan syarat layak jadi wakil rakyat – Dr. Akmal

Published

on

Foto: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh
  • Gesaan itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang berpandangan penguasaan bahasa kebangsaan perlu dijadikan keutamaan bagi setiap wakil rakyat.
  • Jelasnya, walaupun bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan, masih ramai rakyat Malaysia termasuk Ahli Parlimen sendiri tidak menguasainya dengan baik.
  • “Tidak ada masalah untuk menguasai bahasa lain, namun sebagai seorang warganegara yang baik, jata diri perlu diterapkan,” katanya.

 

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kefasihan berbahasa Melayu dijadikan syarat utama kelayakan bagi setiap individu yang ingin bergelar ahli politik atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Gesaan itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang berpandangan penguasaan bahasa kebangsaan perlu dijadikan keutamaan bagi setiap wakil rakyat.

Jelasnya, walaupun bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan, masih ramai rakyat Malaysia termasuk Ahli Parlimen sendiri tidak menguasainya dengan baik.

“Saya berpendapat jika boleh dikenakan salah satu syarat nak menjadi Ahli Parlimen mahupun ADUN, mereka wajib utk fasih berbahasa Melayu.

“Bahasa Melayu ini adalah bahasa kebangsaan negara kita. Maka wajib bagi setiap rakyat malaysia untuk memahami dan fasih berbahasa melayu. ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau mengulas kebimbangan dibangkitkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, di Dewan Rakyat pada 15 Oktober lepas terhadap kelemahan penguasaan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan pelajar bukan Melayu serta wakil rakyat sendiri.

“Begitu juga dengan pelajar bukan Melayu yang masih lemah dalam penguasaan bahasa kebangsaan. Di parlimen ini juga, saya dapat lihat masih ramai Ahli yang tidak begitu lancar berbahasa Melayu Ketika berbahas,” katanya.

Namun, menurutnya, masih ada dalam kalangan masyarakat hari ini membawa pandangan bahawa mereka yang fasih berbahasa Inggeris layak digelar berpendidikan tinggi, seolah-olah bahasa Melayu tidak mempunyai nilai intelektual yang sama.

Akmal menegaskan bahawa persepsi itu perlu dibetulkan.

“Tidak ada masalah untuk menguasai bahasa lain, namun sebagai seorang warganegara yang baik, jata diri perlu diterapkan. Memperlekeh mana-mana bahasa adalah tindakan yang tidak wajar sama sekali,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ harus dijadikan cerminan kedaulatan negara.

Akmal turut menyarankan untuk mencontohi negara Jepun dan China yang pesat membangun dalam bidang teknologi,  tetapi tetap menjulang bahasa ibunda sebagai teras kemajuan bangsa. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author