Terkini
REE memang digunakan dalam sistem persenjataan, Industri automotif – Penganalisis pertahanan
- “Ikut pemahaman memang bahan REE ada dalam komponen sistem persenjataan terutama komponen elektronik yang selain diguna dalam bateri & industri automotif,” kata Zaki sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
- Beliau bagaimanapun mengingatkan agar perbincangan tentang peranan Malaysia sebagai pembekal REE tidak menjurus kepada dakwaan bahawa bekalan bahan mentah tersebut secara automatik bermakna sokongan kepada pembuatan senjata.
- Terdahulu, menerusi perkongsian satu akaun media sosial dikenali sebagai malaysian_protest_4_palestine mendakwa Malaysia bakal jadi pembekal bahan mentah untuk senjata genosida Palestin?.
KUALA LUMPUR — Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh, menegaskan bahawa unsur nadir bumi atau rare earth elements (REE) memang wujud dalam komponen sistem persenjataan terutama pada komponen elektronik yang kompleks namun penggunaan REE itu meliputi pelbagai sektor lain seperti industri bateri dan automotif.
“Ikut pemahaman memang bahan REE ada dalam komponen sistem persenjataan terutama komponen elektronik yang kompleks. Selain diguna dalam bateri & industri automotif,” kata Zaki sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Beliau bagaimanapun mengingatkan agar perbincangan tentang peranan Malaysia sebagai pembekal REE tidak menjurus kepada dakwaan bahawa bekalan bahan mentah tersebut secara automatik bermakna sokongan kepada pembuatan senjata.
Zaki menjelaskan konsep asas bahawa sesebuah senjata atau sistem persenjataan dibina untuk tujuan pertahanan, dan bukan semua penggunaan komponen yang mengandungi REE berakhir sebagai alat perang.
“Isunya adalah bagaimana persenjataan itu digunakan. Kalau tujuannya pertahanan, maka REE telah menjadi komponen yang menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan sesebuah negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, penganalisis tersebut meragui ketepatan naratif yang menyifatkan Malaysia akan menjadi pembekal bahan mentah untuk industri senjata Amerika Syarikat secara menyeluruh.
“Pandangan peribadi saya tak berapa tepat kalau nak blanket isu REE yang Malaysia akan jadi pembekal bahan mentah untuk industri senjata AS,” jelasnya.
Zaki turut membandingkan situasi tersebut dengan analogi mudah iaitu sekiranya benar setiap bahan atau komponen yang boleh digunakan dalam senjata tidak boleh dieksport, maka eksport pelbagai barangan elektronik dan komponen automotif dari Malaysia ke negara-negara lain termasuk AS akan terjejas.
“Kalau nak guna analogi buat senjata bermakna apa benda pun kita tak boleh eksport termasuk komponen elektronik dari Malaysia ke AS kalau digunakan untuk komponen senjata,” tambahnya.
Terdahulu, menerusi perkongsian satu akaun media sosial dikenali sebagai malaysian_protest_4_palestine mendakwa Malaysia bakal jadi pembekal bahan mentah untuk senjata genosida Palestin?.
Menurut hantaran tersebut, perjanjian baharu antara AS-Malaysia ini adalah satu berita yang amat mengecewakan dan satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia pro Palestin.
Dalam perkongsian di media sosial tersebut turut memaparkan info grafik kegunaan REE daripada magnet hingga ke kereta elektronik, tetapi antara industri terbesar yang menggunakan REE adalah industri pembuatan senjata. – The Merdeka Times