Connect with us

Terkini

Beli LNG AS: ‘Perlu atau dipaksa, kenapa tak beli dari negara lebih murah?’

Published

on

Foto: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff
  • Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah tidak strategik dan berisiko tinggi kepada kestabilan tenaga serta kedudukan kewangan Petronas.
  • “Adakah komitmen pembelian LNG dari Amerika ini merupakan keperluan, atau kita sebenarnya dipaksa untuk beli LNG Amerika walaupun tiada keperluan?
  • “Kalau keperluan, kenapa tidak beli dari negara seperti Qatar yang terkenal dengan LNG yang murah?,” katanya.

KUALA LUMPUR – Komitmen Malaysia membeli gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS) bernilai RM9.69 bilion setahun dengan potensi tambahan RM6.46 bilion menimbulkan tanda tanya besar sama ada langkah itu benar-benar berasaskan keperluan tenaga negara atau hasil tekanan politik dan perdagangan antarabangsa.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah tidak strategik dan berisiko tinggi kepada kestabilan tenaga serta kedudukan kewangan Petronas.

“Adakah komitmen pembelian LNG dari Amerika ini merupakan keperluan, atau kita sebenarnya dipaksa untuk beli LNG Amerika walaupun tiada keperluan?.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Nurul Islam Mohamed Yusoff.

“Kalau keperluan, kenapa tidak beli dari negara seperti Qatar yang terkenal dengan LNG yang murah?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Nurul Islam, sejak sekian lama Malaysia mengimport LNG daripada negara jiran seperti Australia, Brunei dan Indonesia kerana kedudukan geografi yang lebih dekat dan kos penghantaran yang jauh lebih rendah.

LNG dari Amerika Syarikat, katanya, perlu dihantar sejauh lebih 15,000 kilometer dari pelabuhan di Gulf Coast seperti Sabine Pass dan Corpus Christi, mengambil masa 30 hingga 35 hari pelayaran, berbanding hanya lima hingga tujuh hari dari negara jiran.

“Akibat jarak jauh ini, kos minyak, sewaan kapal dan boil-off losses boleh melebihi RM288,000 hingga RM480,000 bagi setiap kapal.

“Ini menjadikan LNG Amerika tidak ekonomi untuk Malaysia, bila kos mahal, hendak dijual ke negara jiran juga tiada yang mahu membeli,” jelasnya.

Nurul Islam berkata, LNG Amerika dijual berdasarkan harga penanda Henry Hub dan menggunakan terma Free-On-Board (FOB), yang mewajibkan pembeli menanggung kos penghantaran.

“Pasaran LNG Malaysia pula lazimnya menggunakan JCC (Japan Crude Cocktail) atau Brent-linked contracts, yang lebih serasi dengan pembekal serantau seperti Australia, Brunei dan Qatar.

“Kos tambahan logistik dan insurans untuk LNG dari AS boleh meningkatkan harga Delivered Ex-Ship sebanyak RM9.60 hingga RM19.20 bagi setiap MMBtu, menjadikannya kurang berdaya saing berbanding pembekal serantau di Asia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Malaysia bukan negara yang kekurangan LNG kerana kompleks Petronas LNG di Bintulu mampu menghasilkan lebih 29 juta tan setahun (mtpa) dan merupakan antara pengeksport LNG.

“Import LNG oleh Malaysia kebanyakannya bertujuan untuk ‘top-up’ bekalan di wilayah tertentu, contohnya, nak bekalkan gas ke Semenanjung Malaysia melalui terminal Pengerang dan Sungai Udang, di mana kapasiti saluran paip adalah terhad.

“Jadi berbaloilah nak import jumlah kecil LNG dari negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Australia yang berdekatan bagi menampung permintaan, berbanding membawa kargo besar dari Amerika Syarikat merentasi Lautan Pasifik,” katanya.

Nurul Islam turut mengingatkan risiko dari aspek keselamatan tenaga dan kewangan, selain pembelian LNG Amerika terdedah kepada faktor geopolitik dan risiko logistik seperti kesesakan di Terusan Panama, yang boleh menjejaskan jadual penghantaran.

Tambahnya, kontrak LNG lazimnya mengandungi klausa ‘Take-or-Pay’, di mana pembeli perlu membayar penalti jika tidak mengambil jumlah minimum yang dipersetujui. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author