Terkini
‘Bekas tentera, polis sesuai warden sekolah, pelajar tak takut guru, warden biasa’
- Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata cadangan itu sangat wajar kerana kehadiran figura beruniform dan berdisiplin tinggi memberi kesan psikologi positif terhadap kawalan tingkah laku pelajar, terutama yang cenderung kepada perlakuan agresif.
- “Pelajar akan lebih berhati-hati jika mereka tahu ada warden yang tegas yakni bekas anggota pihak berkuasa yang berkredibiliti sedang memerhati,” katanya.
- Fatimah berkata banyak kes buli tidak dilaporkan kerana pelajar percaya tiada tindakan akan diambil, atau warden dan guru gagal bertindak tegas terhadap pelaku.
KUALA LUMPUR – Pelantikan bekas anggota tentera, polis dan RELA sebagai warden atau pengawal keselamatan di sekolah disifatkan sebagai satu langkah proaktif yang mampu menangani gejala buli jika digerakkan dengan perancangan rapi serta peruntukan mencukupi.
Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata cadangan itu sangat wajar kerana kehadiran figura beruniform dan berdisiplin tinggi memberi kesan psikologi positif terhadap kawalan tingkah laku pelajar, terutama yang cenderung kepada perlakuan agresif.
“Pelajar akan lebih berhati-hati jika mereka tahu ada warden yang tegas yakni bekas anggota pihak berkuasa yang berkredibiliti sedang memerhati. Ini berbeza dengan guru atau warden biasa yang mungkin tidak ditakuti pelajar.
“Pelajar sebenarnya takut pada undang-undang, tetapi mereka tidak faham akibat atau kesan daripada perbuatan mereka,” katanya yang dihubungi The Merdeka Times.
Tambah beliau, rondaan berkala oleh pihak berkuasa termasuk polis sepatutnya dijadikan sebahagian daripada sistem pencegahan.
Sementara itu, beliau berkata banyak kes buli tidak dilaporkan kerana pelajar percaya tiada tindakan akan diambil, atau kerana warden dan guru gagal bertindak tegas terhadap pelaku.
“Sikap sambil lewa atau ambil mudah guru-guru atau warden menyebabkan ada kes buli yag terlepas.
“Undang-undang perlu dibuat untuk menghukum guru-guru sebegini bagi mengelakkan kes-kes masalah disiplin terjadi pada masa depan tanpa pemantauan tegas,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Fatimah menegaskan, usaha menegur dengan memberitahu kesan dan hukuman berat terhadap pembuli sedikit sebanyak boleh memberi impak psikologi mengelakkan daripada membuli.
“Masalah buli bukan masalah disiplin sepenuhnya, jika dilihat ia adalah masalah sosial dan psikologi, kita perlu ajar mereka mengenai konsep kesan dan hukuman kepada pembuli.
“Beri mereka kesedaran awal mengenainya agar budaya membuli seperti ini tidak terjadi lagi pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Facebooknya, mencadangkan bekas tentera atau polis dilantik sebagai warden asrama sepenuh masa bagi menangani kes buli.
Ia berikutan ramai guru MRSM yang menjadi warden mengadu terbeban untuk berjaga selepas jam 12 malam kerana perlu bertugas sebagai guru pada awal pagi, keesokannya. – The Merdeka Times