Connect with us

Terkini

Ahli Parlimen Jelutong cadang ajaran Thirukkural, Confucius diajar di sekolah

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer
  • “Saya mencadangkan agar ajaran-ajaran dalam puisi Thirukkural ini dan ajaran Confucius diajar bukan sahaja di sekolah-sekolah vernakular tetapi juga di sekolah-sekolah kebangsaan,” katanya.
  • Beliau menegaskan bahawa penerapan ajaran seperti itu dalam sistem pendidikan boleh membantu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga beradab dan berakhlak mulia.

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mencadangkan supaya falsafah daripada karya klasik Thirukkural dan ajaran Confucius diajar di sekolah-sekolah kebangsaan bagi memperkukuh nilai moral serta etika dalam kalangan pelajar. Dalam ucapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau berkata cadangan itu dibuat dengan niat ikhlas bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih menyeluruh serta menekankan aspek adab dan budi pekerti.

“Di kesempatan ini, saya ingin mencadangkan supaya kita juga mengajar falsafah-falsafah bukan saja di sekolah-sekolah vernakular tetapi juga di sekolah-sekolah kebangsaan supaya niat yang ikhlas saya tidak disalah tafsirkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya mencadangkan agar ajaran-ajaran dalam puisi Thirukkural ini dan ajaran Confucius diajar bukan sahaja di sekolah-sekolah vernakular tetapi juga di sekolah-sekolah kebangsaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa Thirukkural merupakan karya sastera kuno Tamil yang ditulis oleh penyair falsafah Thiruvalluvar, terdiri daripada 1,330 puisi yang membincangkan etika, kebajikan dan falsafah hidup. Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai falsafah Confucianism, yang menurutnya sering disalah tafsir.

“Thirukkural ini terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu aram (kebajikan), porul (kekayaan) dan imbam (cinta). Karya ini terkenal kerana kandungannya yang universal dan diterima oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, budaya atau geografi,” jelasnya.

“Confusionism dengan izin, jangan salah faham, ia adalah Confusionism, bukan komunisme ialah falsafah moral dan etika dari China kuno yang diasaskan oleh Confucius, yang menekankan kepentingan keharmonian sosial, tadbir urus yang beretika serta nilai-nilai seperti kasih sayang, rasa hormat dan kesusilaan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa penerapan ajaran seperti itu dalam sistem pendidikan boleh membantu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga beradab dan berakhlak mulia.

“Saya minta maaf, saya bukan seorang pakar pendidikan. Kita boleh mencampur-adukkan ajaran oleh Confucius dan Thirukkural di sekolah-sekolah supaya kita memastikan bahawa pendidikan yang kita bawa kepada anak-anak kita itu adalah sesuatu yang menyeluruh. – The Merdeka Times

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author