Terkini
70 peratus sumber REE di negeri SG4, MB tegas mesti runding dengan negeri
- Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani oleh empat Menteri Besar SG4, empat negeri SG4 kini mewakili kira-kira 70 peratus daripada sumber REE terbesar di Malaysia.
- Dalam kenyataan yang sama, SG4 menegaskan bahawa sebarang pelan pembangunan nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa rundingan rasmi bersama kerajaan negeri sebagai pemilik sumber.
- “Perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan perlu dibuat melalui libat urus rasmi,” tegas kenyataan bersama itu.
KUALA LUMPUR — Majlis Menteri Besar State Government 4 (SG4) yang dianggotai oleh negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan bahawa sumber mineral nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE) yang terletak dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak milik kerajaan negeri seperti termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh empat Menteri Besar SG4, iaitu Pengerusi SG4 merangkap Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dan Menteri Besar Perlis YAB Mohd Shukri Ramli pada Rabu.
Menurut kenyataan tersebut, gabungan empat negeri SG4 kini mewakili kira-kira 70 peratus daripada sumber REE terbesar di Malaysia, dan komited memastikan pengurusan mineral berharga itu dilaksanakan secara bertanggungjawab, lestari serta memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang.
Setiap negeri di bawah SG4 kini sedang melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik pengurusan REE yang diselaraskan bersama, meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pemindahan teknologi, pembangunan modal insan tempatan serta perlindungan alam sekitar.
“Polisi semasa menetapkan agar mineral kritikal ini kekal di negeri-negeri SG4 dengan mengutamakan penyertaan industri tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, SG4 menegaskan bahawa sebarang pelan pembangunan nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa rundingan rasmi bersama kerajaan negeri sebagai pemilik sumber.
“Perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan perlu dibuat melalui libat urus rasmi,” tegas kenyataan bersama itu.
SG4 turut menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati, namun menegaskan agar pengalaman lalu berhubung isu royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE.
“Pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” tambah kenyataan itu.
SG4 berpendapat bahawa pembangunan industri REE perlu dilaksanakan di negeri yang memiliki sumber berkenaan supaya limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan dapat dinikmati oleh rakyat tempatan.
“Pendapatan negeri tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi kepada negeri serta rakyat,” katanya lagi.
SG4 juga menyeru agar setiap pelan pembangunan nasional dan rundingan antarabangsa yang melibatkan REE menghormati hak negeri-negeri sumber serta melibatkan wakil kerajaan negeri dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.-The Merdeka Times